My Add

Sunday 18 December 2011

Ynna, Komita tandatangani MoU senarai produk terpilih

OMAR Chabi (kanan) menandatangani MoU bersama Sheikh Ahmad Dusuki di Rabat, Maghribi, semalam.

RABAT, AHAD, 18 Disember, 2011: Ynna Holding dan Konsortium Usahawan Makanan dan Industri Asas Tani Sdn. Bhd., (Komita) dari Malaysia hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) mengenai penyenaraian produk terpilih Malaysia dalam rangkaian pasar raya, Aswak Assalam.

Pemeteraian MoU itu juga meningkatkan kerjasama lanjut dan penyelarasan bahawa semua produk yang dibeli untuk ditempatkan di semua 16 cawangan pasar raya tersebut perlu melalui Komita.

Majlis menandatangani persefahaman itu dilakukan oleh Timbalan Presiden Ynna Holding, Omar Chabi manakala Komita diwakili oleh Pengerusinya, Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad.

Ia diadakan sempena perasmian Minggu Karnival 1Malaysia Best yang disempurnakan oleh Duta Malaysia ke Maghribi, Jamal Hassan.

Karnival selama seminggu yang bermula 15 Disember lalu berlangsung di pekarangan pasar raya Aswak Assalam di sini dengan mempamerkan pelbagai produk Malaysia termasuk makanan sejuk beku, madu, minyak gaharu, biskut, kopi nanas, batik dan bunga daun getah.

Sempena majlis MoU itu juga, Omar kemudiannya menyampaikan Anugerah Rakan Import Pertama 2011 kepada Komita sebagai satu pengiktirafan komitmen yang dimainkan oleh konsortium itu dalam menjalinkan kerjasama memasarkan produk usahawan bumiputera Malaysia ke rangkaian pasar raya tersebut.

Omar dalam ucapan ringkasnya berkata, beliau yakin menerusi MoU itu akan mencetuskan lebih banyak idea untuk meningkatkan jalinan perniagaan antara kedua-dua pihak pada masa depan.

Jamal ketika berucap merasmikan karnival itu pula berharap, kerjasama tersebut membolehkan usahawan Malaysia meneroka pasaran antarabangsa dan Maghribi menjadi batu loncatan permulaan kepada usaha untuk menembusi pasaran di rantau Afrika.

"Kerjasama ini diharap akan melonjakkan jaringan perdagangan dan usahawan Malaysia perlu gigih serta mempunyai semangat yang tinggi kerana Maghribi menyediakan segala kemudahan," tambahnya.

Sementara itu, Sheikh Ahmad Dusuki memberitahu Mingguan Malaysia pihak pengurusan Aswak Assalam ada menyediakan satu ruang khas dikenali sebagai Malaysia Corner di setiap cawangannya untuk mempamerkan produk Malaysia selama tiga bulan.

"Sekiranya, kita menunjukkan komitmen, tempoh ruang pameran itu akan dilanjutkan selama setahun.

"Apa yang menjadi kebanggaan kami, pihak Aswak Assalam juga menyediakan satu ruang pejabat secara percuma kepada wakil Komita di pasar raya mereka untuk menjalankan program-program promosi dan menguruskan segala urus niaga," katanya. - Mingguan Malaysia

No comments:

Post a Comment