My Add

Sunday 18 December 2011

'Tolong atasi kemelut Cityliner'

PENDANG 17 Dis. - Kemelut yang menimpa syarikat pengendali bas henti-henti Cityliner kini menjejaskan pendapatan lebih 100 pekerja termasuk pemandu basnya di negeri ini.

Ia berikutan pemberhentian 18 daripada 20 laluan di Sungai Petani, Pendang dan Kulim sejak awal bulan ini ekoran kerugian yang ditanggung syarikat Kenderaan Langkasuka Sdn. Bhd., yang mencecah RM400,000 sebulan sejak beberapa tahun lalu.

Menurut Pengerusi Kesatuan Pengangkutan Awam Semenanjung Malaysia (TWU) Sesi Alor Setar, Mohd. Shukri Mahmood (gambar), kakitangan ketika ini hanya memperoleh pendapatan asas sahaja tanpa bayaran elaun dan kerja lebih masa berikutan pemberhentian operasi itu.

''Pemandu bas hanya menunggu di depoh dan pendapatan yang diperoleh sekitar RM400 sebulan berbanding sebelum ini lebih RM800 termasuk elaun.

''Pemberhentian operasi ini turut menjejaskan ribuan penduduk yang menggunakan bas henti-henti setiap hari," katanya kepada pemberita di Stesen Bas Pendang di sini semalam, lapor JAMLIAH ABDULLAH.

Pemberhentian operasi itu melibatkan laluan dari 13 buah taman di sekitar Sungai Petani, Pendang ke Alor Setar, Sungai Petani-Kulim, Baling dan Jeniang selain Alor Setar ke Kangar.

Operasi yang masih aktif cuma Butterworth ke Sungai Petani dan ke Alor Setar.

Seorang pemandu, Ahmad Dahlil, 59, memberitahu, masalah itu baru pertama kali berlaku sejak dia bekerja dengan syarikat tersebut kira-kira 30 tahun lalu.

''Sebelum ini majikan mungkin dapat menyerap kos tetapi setelah ia lama berlalu, kemungkinan syarikat tiada pilihan dan terpaksa memberhentikan operasi.

"Diharapkan satu penyelesaian dapat dicari demi kepentingan pekerja dan penduduk," katanya.

Dalam pada itu, kemelut yang menimpa turut mengheret penduduk setempat apabila kebanyakan mereka yang bergantung sepenuhnya kepada pengangkutan awam itu.

Seorang penduduk, Zaiton Shafie, 46, pula memberitahu, dia terkejut dengan pemberhentian operasi itu kerana terpaksa membayar tambang teksi RM6 untuk pulang ke rumah di Kobah berbanding tambang bas RM1.30.

''Ketiadaan bas menyukarkan saya untuk ke pekan Pendang kerana terpaksa mengeluarkan belanja tinggi untuk naik teksi," katanya yang bekerja di sebuah kilang di Sungai Petani.

Dalam pada itu, jurucakap syarikat memberitahu, satu perjumpaan akan diadakan bersama Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dalam masa terdekat.

Katanya, diharapkan masalah itu dapat diselesaikan akhir bulan ini dan operasi bas henti-henti boleh disambung semula awal tahun depan terutama apabila musim persekolahan akan bermula.

''Diharapkan satu dana dapat disuntik sama ada menerusi bantuan Kerajaan Pusat atau negeri bagi menampung kerugian yang ditanggung syarikat yang sebelum ini menunaikan tanggungjawab sosial kepada penduduk dengan menanggung kerugian setiap bulan," katanya. - MM

No comments:

Post a Comment