My Add

Saturday, 19 May 2012

1,200 pelajar di Pulau Pinang terima komputer 1Malaysia

GEORGETOWN, SABTU, 19 Mei, 2012: Mulai hari ini, pelajar, J Veenod, tidak perlu lagi bersusah payah ke kafe siber untuk menyiapkan tugasan sekolahnya selepas menerima bantuan komputer riba 1Malaysia. 

Veenod, 16, antara 1,200 penerima bantuan Suruhanjaya Komunikasi dan
Multimedia Malaysia (SKMM) Wilayah Utara itu, membabitkan peruntukan berjumlah RM1.2 juta.

Pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Gambir itu berkata, dengan adanya komputer riba itu, dia tidak perlu lagi berebut menunggu giliran dengan rakan lain bagi mendapatkan akses internet di makmal komputer sekolahnya. 

"Memang susah mahu buat kerja sekolah tanpa komputer dan akses internet sendiri. Tambahan pula menjelang pertengahan tahun ini, banyak kerja kursus yang perlu dihantar," katanya selepas majlis penyerahan komputer riba 1Malaysia oleh Penyelaras Parlimen Bayan Baru, Por Joo Tee di sini, hari ini. 

Ketika berucap pada majlis itu, Por menggesa pelajar memanfaatkan kemudahan 
komputer itu dalam meningkatkan keupayaan dan prestasi diri masing-masing 
terutama dalam bidang teknologi maklumat. 

Beliau berkata, pemberian komputer riba itu adalah permulaan yang baik kepada 
pelajar untuk meningkatkan penguasaan ilmu pengetahuan mereka. 

Sementara itu, Timbalan Pengarah SKMM Wilayah Utara, Zainol Hamid, berkata 
penyerahan komputer riba jenama Black Cube itu meliputi tiga kawasan parlimen 
iaitu Bayan Baru, Bukit Bendera dan Tanjong. 

Katanya, program itu adalah satu daripada pelan kerajaan di bawah Inisiatif Jalur Lebar Negara bagi meningkatkan kadar penembusan jalur lebar isi 
rumah negara. 

Enam sekolah menerima komputer bagi fasa ketiga itu, antaranya SMK Bukit 
Jambul, SMK Sungai Nibong, SMK St George dan SMK St Xavier. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment