My Add

Monday 14 May 2012

21 ibu gembira terima kad Hari Ibu daripada PM

BALING, AHAD, 13 Mei, 2012: Sebanyak 21 ibu yang melahirkan bayi di Hospital Baling di sini merasai kegembiraan berganda apabila turut menerima kad istimewa sempena Hari Ibu daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kad berkenaan disampaikan oleh Ketua UMNO Bahagian Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim di wad ibu bersalin di hospital itu.

Zaharah Hamid, 27, berkata, dia berasa amat bertuah kerana menerima kad ucapan tersebut pada hari bersejarah berkenaan.

"Saya amat gembira dan bersyukur menerima penghargaan dan ucapan Hari Ibu daripada Perdana Menteri," kata ibu kepada bayi, Mohd. Darwish Arayyan.

Rosmah Mahmud, 30, pula berkata, dia berasa bangga apabila pemimpin negara seperti Najib menghulurkan penghargaan buat ibu sepertinya.

Sementara itu, Abdul Azeez bersama para ibu dan jururawat turut menyaksikan pemotongan kek sempena Hari Ibu dan Jururawat yang dilakukan oleh Matron Umi Kalsom Zakaria.

Semua ibu turut menerima sumbangan hadiah daripada Abdul Azeez pada majlis berkenaan yang dihadiri Pengarah hospital itu, Dr. Jazari Jamaluddin dan Ketua Puteri UMNO Baling, Suriati Che Mid.

Abdul Azeez berkata, Perdana Menteri sendiri rasa terpanggil untuk menghulurkan rasa penghargaan buat semua ibu, apatah lagi yang baru menjadi ibu pada hari ini.

Kata beliau, inilah pemimpin yang sentiasa memberi perhatian kepada semua rakyat termasuk insan istimewa bergelar ibu.

Pada satu majlis berasingan, Abdul Azeez turut meraikan kira-kira 20 ibu di Kampung Charuk Bunting Siong dan menyampaikan kad sumbangan Perdana Menteri.

"Sekalipun mereka tinggal di kawasan kampung, kad penghargaan Hari Ibu turut diberikan sebagai tanda ingatan," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment