My Add

Sunday 27 May 2012

29 rumah setinggan Jalan Peel terbakar

KUALA LUMPUR, AHAD, 27 Mei, 2012: Kira-kira 29 unit rumah setinggan termasuk bengkel baiki kereta, kedai runcit dan stor menyimpan barangan di Jalan Peel, di sini terbakar pagi tadi. 

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khirudin Drahman, berkata pihaknya menerima laporan kira-kira jam 9.07 pagi ini dan sampai di tempat kejadian lapan minit kemudian.

"Lima jentera bomba yang tiga daripadanya dari Balai Bomba Hang Tuah dan selebihnya dari Balai Bomba Pudu dan Bandar Tun Razak dikejarkan ke tempat kejadian dan berjaya memadamkan api dalam masa setengah jam," katanya di sini, hari ini.

Khirudin berkata, punca kebakaran masih dalam siasatan dan tiada sebarang kecederaan atau kematian dilaporkan setakat ini. 

"Anggaran kerugian masih dalam siasatan pihak bancian Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan mangsa yang terbabit ditempatkan di Dewan St John berhampiran untuk sementara waktu," katanya. 

Sementara itu, seorang daripada mangsa, Tang Poh Mei, 37, berkata dia hanya menyedari kebakaran itu apabila terasa panas di dalam biliknya. 

"Saya berasa hairan kenapa panas sangat kerana saya guna pendingin hawa di dalam bilik. Apabila saya lihat keluar rupa-rupanya ada kebakaran. Saya cepat-cepat mengeluarkan segala dokumen dan barangan penting. 

"Saya cuma sempat menyelamatkan beberapa barangan saja kerana keadaan berlaku dengan cepat dan rumah saya juga hangus terbakar," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment