My Add

Monday 28 May 2012

Bicara kes bunuh Sosilawati ditangguh esok

SHAH ALAM, ISNIN, 28 Mei, 2012: Prosiding di peringkat pembelaan perbicaraan kes bunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain di Mahkamah Tinggi di sini, yang sepatutnya bermula hari ini, ditangguhkan ke esok. 

Hakim Datuk Akhtar Tahir memutuskan sedemikian selepas membenarkan permohonan peguam Manjeet Singh Dhillon yang mewakili tertuduh pertama, bekas peguam N Pathmanabhan.

Manjeet memaklumkan bahawa pihaknya memerlukan masa untuk meneliti bahan bukti bersama anak guamnya.

Peguam itu juga memberitahu mahkamah bahawa Pathmanabhan mengalami masalah kesihatan dan tidak bersedia meneruskan perbicaraan hari ini. 

"Anak guam saya terjatuh di Penjara Sungai Buloh semalam dan dikejarkan ke hospital. Justeru, beliau tidak cukup rehat dan tidak bersedia untuk perbicaraan hari ini," katanya. 

Pada 30 April lalu, Akhtar memerintahkan Pathmanabhan dan tiga pekerja ladang, T Thilaiyalagan, R Matan dan R Kathavarayan membela diri atas tuduhan membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44. 

Akhtar memutuskan sedemikian selepas berpuas hati bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap kesemua tertuduh. 
Beliau menetapkan selama 15 hari bagi keempat-empat tertuduh membela diri bermula hari ini. 

Pathmanabhan, 43, Thilaiyalagan, 21, Matan, 22, dan Kathavarayan, 32, didakwa melakukan perbuatan itu di Ladang Gadong di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat di Banting antara jam 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010 serta didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff, Saiful Edris Zainuddin, Idham Abd Ghani, Siti Rohaida Che Hamid dan Nur Azimul Azami Mohamad Nor. 

Pathmanabhan turut diwakili peguam Pushpa Ratnam, Thilaiyalagan diwakili peguam Gurbachan Singh, Matan diwakili peguam Amer Hamzah Arshad dan Datuk Ng See Teong manakala Kathavarayan diwakili peguam Ravi Nekoo. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment