My Add

Thursday 10 May 2012

Dr Mahahtir bakal terima Ijazah Kehormat Doktor Kejuruteraan

Tun Dr Mahathir Mohamad
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 10 Mei, 2012: Tokoh Negarawan tersohor yang juga bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad akan menerima Ijazah Kehormat Doktor Kejuruteraan Automotif daripada Universiti Malaysia Pahang (UMP) atas sumbangan dan usaha berterusan beliau dalam pembangunan industri automotif negara ini.

Beliau juga adalah penggerak kepada industri permotoran di Malaysia terutamanya dalam melahirkan kereta nasional Proton Saga sejak 1985 yang sehingga kini menjadi kebanggaan rakyat di Malaysia dan di luar negara.

Penganugerahan bakal disempurnakan Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP), Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dalam Majlis Konvokesyen Khas UMP yang akan berlangsung pada 17 Mei ini di Dewan Kompleks Sukan UMP di Gambang.

Naib Canselor UMP, Profesor Datuk Dr Daing Nasir Ibrahim, berkata kejuruteraan automotif adalah antara bidang kebitaraan universiti ini dan penganugerahan Ijazah Ijazah Kehormat Doktor Kejuruteraan Automotif kepada Tun dalam Majlis Konvokesyen Khas ini lebih bermakna buat UMP tatkala universiti ini menyambut ulang tahun kesepuluh penubuhan pada tahun ini. 

"Wawasan dan pandangan jauh beliau terhadap potensi besar industri automotif sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi menyaksikan ramai anak tempatan Malaysia berkepakaran dan berkemahiran tinggi dalam bidang kejuruteraan automotif," katanya. 

Sebagai penghargaan atas sumbangan beliau dalam pembangunan industri automotif negara ini, penganugerahan ijazah kehormat ini bertepatan dengan sumbangan beliau dan wajar untuk UMP mengiktiraf Tun sebagai Bapa Automotif Malaysia. 

Majlis dijangka dihadiri Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah dan Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali. 

Bersempena dengan Majlis Konvokesyen ini UMP turut mengadakan pameran mengenai biodata Tun, sumbangan beliau dalam pembangunan industri automotif Negara dan pembabitan UMP dalam bidang automotif di bawah Pusat Kejuruteraan Automotif (AEC). - BERNAMA

No comments:

Post a Comment