My Add

Friday 25 May 2012

Haram sokong Irshad Manji

Nooh Gadut
Oleh MOHAMED SAARI
LABIS, KHAMIS, 24 Mei, 2012: Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Nooh Gadut berkata, adalah haram hukumnya menyokong perjuangan Irshad Manji yang mempertahankan cara hidup sebagai seorang lesbian dan sesiapa yang berbuat demikian harus segera bertaubat.

Oleh itu, katanya, tindakan pihak berkuasa menyekat pengedaran buku berjudul Allah, Kebebasan dan Cinta tulisan Irshad yang mendukung gerakan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) perlu disokong kerana jika dibiarkan ia akan merosakkan akidah umat Islam negara ini.

"Adalah jelas bahawa Irshad Manji adalah seorang yang memperjuangkan gaya hidup lesbian dan gay yang bertentangan dengan hukum agama Islam, namun masih terdapat golongan tertentu masih memberikan kerjasama kepadanya semasa dia datang ke negara ini.

"Saya menyeru umat Islam negara ini menolak sekeras-kerasnya bukan sahaja kedatangannya ke sini, malah fahaman serta buku tulisannya kerana boleh merosakkan akidah kita dan haram hukumnya kita menyokong sebarang tindakannya yang jelas menghina Islam," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia bagi mengulas kedatangan penulis kontroversi dari Kanada, Irshad Manji dan pelancaran bukunya yang mempunyai unsur penghinaan terhadap Islam di Kuala Lumpur baru-baru ini, selepas menyampaikan ceramah di Forum Perdana Ehwal Islam sempena Festival Labis di Dataran Labis, di sini semalam.

Sebelum ini Irshad pernah menimbulkan kemarahan umat Islam seluruh dunia melalui buku tulisannya berjudul The Trouble With Islam Today yang disifatkan mempunyai idealisme sama seperti buku tulisan Salman Rushdie, The Satanic Verse yang diharamkan di Malaysia.

Nooh pada masa sama turut meminta pihak berkuasa agar bertindak tegas kepada mana-mana pihak yang cuba membawa masuk individu yang mendukung ideologi liberalisme, pluralisme dan budaya LGBT ke negara ini.

"Jika kemasukan individu seperti ini ke negara kita tidak dibendung, saya bimbang mereka akan berjaya menyebarkan pengaruh negatif di kalangan masyarakat kita secara halus dan ini akan membawa kita kepada kehancuran bukan sahaja di dunia malah di akhirat," katanya lagi. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment