My Add

Saturday, 19 May 2012

Isu air: Kerajaan Negeri akan saman Kerajaan Pusat

SEPANG, JUMAAT, 18 Mei, 2012:  Kerajaan Negeri bersedia untuk menyaman Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui serta Kerajaan Pusat berhubung isu bekalan air sekiranya tiada jalan penyelesaian.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Kerajaan Negeri bukan sahaja bersedia untuk membawa kes tersebut ke mahkamah tetapi bersedia menghadapi pilihan raya umum demi menjaga hak rakyat dalam isu membabitkan air.

“Kita sudah bersedia dengan saman malah telah berjumpa peguam antarabangsa untuk mendengar pengalaman mereka mengendali konsesi yang gagal memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya pada sidang media di Program Dialog Bersama Rakyat di Dewan Orang Ramai Pekan Sepang di sini, semalam.

Sebelum ini, Fah Kui mengeluarkan kenyataan bahawa beliau tidak mempunyai kuasa untuk meminta pemegang konsesi air di Selangor bersetuju terhadap rancangan penyusunan semula oleh Kerajaan Negeri itu.

Abdul Khalid berkata, pihaknya ‘gembira’ mendengar kenyataan dibuat oleh Fah Kui kerana itu menunjukkan beliau tidak menyedari kuasa dimilikinya atau mahu menggunakannya demi kepentingan rakyat.

“Apa yang jelas mereka menyebelahi peniaga atau pemegang konsesi dan Kerajaan Negeri konsisten dengan prinsip di mana hak rakyat diutamakan,” katanya.

Menurutnya, Kerajaan Negeri akan mengadakan forum pada Jun ini membabitkan isu air tersebut dan tindakan saman tersebut dilakukan selepas itu.

Katanya, forum itu akan dihadiri pakar dalam bidang berkaitan dan Kerajaan Negeri akan mengambil kira pandangan mereka sebelum memutuskan tindakan sewajarnya.

Ketika ditanya pemberita tarikh untuk mengemukakan saman tersebut, Abdul Khalid berkata, setakat ini pihaknya tidak mempunyai tarikh spesifik ditetapkan lagi.

“Kita tiada tarikh spesifik tetapi kita akan adakan satu forum air untuk membincangkan semua perkara berbangkit dalam sektor air di negeri ini.

“Mungkin selepas forum, kita akan fikir bila untuk failkan saman,” katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment