My Add

Saturday, 19 May 2012

Irshad Manji dilarang anjur sebarang program

GURUN, SABTU, 19 Mei, 2012: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak akan membenarkan sebarang program yang membabitkan pendukung gay, biseksual dan transeksual (LGBT), Irshad Manji diadakan di negara ini. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata
pihaknya memandang serius terhadap perkara itu dan meminta semua jabatan agama di setiap negeri menghalang sebarang program membabitkan wanita itu daripada berlangsung.

Beliau berkata, Manji, 48, akan datang ke negara ini bagi tujuan melancarkan 
buku terbarunya bertajuk 'Islam, Liberty and Love' yang dipenuhi unsur 
penghinaan terhadap Islam serta perjuangannya dalam mempertahankan cara hidup sebagai seorang lesbian. 

"Kerajaan amat memandang serius terhadap ideologi yang dibawa oleh Irshad Manji dan implikasinya terhadap umat Islam di negara ini," katanya pada sidang 
media selepas merasmikan Karnival Buat Elok Saja Tau (Best) di sini, malam tadi. 

Katanya, ideologi tersebut jelas bertentangan dengan kedudukan Malaysia 
sebagai negara Islam berdasarkan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan (Islam 
sebagai Agama Persekutuan), Akta dan Enakmen Agama Islam negeri-negeri, 
undang-undang sivil dan norma masyarakat. 

Jamil Khir berkata, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang turut dianggotai 
Malaysia menolak orientasi seksual yang mendukung LGBT sebagaimana yang 
ditegaskan dalam persidangan Sesi ke-19 Majlis Hak Asasi Manusia, Pertubuhan 
Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 7 Mac lalu di Geneva, Switzerland. 

Justeru, beliau menyeru umat Islam di negara ini sentiasa peka dan berhati-hati supaya tidak terpengaruh dengan fahaman ideologi yang dibawa oleh kumpulan dan individu tersebut. 

Ini kerana beliau khuatir akan menyentuh sensitiviti agama serta menjadi 
provokasi serius terhadap umat Islam secara harmoni di bawah naungan institusi 
Raja-Raja Melayu, Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara ini. 

Manji adalah seorang muslim berfahaman liberalismie, pluralisme dan feminisme dan dia adalah pendukung LGBT di peringkat antarabangsa. 

Dia pernah mengarang sebuah buku yang menimbulkan kegelisahan dan kemarahan umat Islam di seluruh dunia bertajuk 'The Trouble With Islam Today' yang mengandungi idealisme sama seperti penulis novel 'The Satanic Verses', Salman Rushdie. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment