My Add

Monday 28 May 2012

Kaum India jangan tertipu

Oleh SOFIAN BAHAROM dan SHEILA RANI CHANDRASEKARAN
KUALA LUMPUR, AHAD, 27 Mei, 2012: Masyarakat India tidak seharusnya tertipu dengan agenda pihak tertentu yang berusaha meracuni pemikiran mereka dengan menimbulkan dakwaan tidak benar.

Presiden Parti Barisan Kemajuan India Malaysia (IPF), Datuk M. Sambanthan berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pernah mengabaikan kebajikan dan nasib kaum India di negara ini.

"Kerajaan di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib (Tun Razak) kini menjuarai peranan dalam menjaga sosioekonomi, pelajaran dan pelbagai sektor pekerjaan kaum India.

"Tiada kerajaan yang lebih prihatin terhadap masyarakat kaum India selain BN," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Suara Kaum India Malaysia (MIV) atau dahulunya dikenali sebagai Hindraf berikutan penganjuran perhimpunan Indraf 2.0 hari ini di Dewan Girl Guide di Brickfields di sini, yang bertujuan menyeru masyarakat India memilih sebuah kerajaan baru kerana mendakwa kebajikan kaum tersebut kini diabaikan.

Jelas Sambanthan, kerajaan BN juga telah banyak membantu kaum India untuk meningkatkan mobiliti sosial mereka.

"Saya melihat BN telah banyak membantu masyarakat India terutama dalam hal ehwal agama, memperkasakan pendidikan di sekolah Tamil dan sebagainya. Justeru, kita tidak harus termakan dengan hasutan pihak yang bermotifkan politik," ujarnya.

Budaya politik ganas yang dipromosikan pembangkang sejak dahulu lagi, menurut beliau, juga merupakan perkara yang harus dihindari kaum tersebut yang majoritinya terdiri daripada pencinta keamanan dan keharmonian.

"Masyarakat India bukan kaum yang mudah diperalat oleh mana-mana pihak berkepentingan. Kita tidak semudah itu untuk termakan taktik pembangkang bagi mendapatkan semula sokongan pengundi kaum India," ujarnya.

Sementara itu, Presiden PPP, Datuk Seri M. Kayveas berkata, perhimpunan tersebut adalah taktik pembangkang untuk meraih sokongan kaum India dalam pilihan raya umum akan datang.

"Perhimpunan ini jelas menunjukkan pihak pembangkang mempergunakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berdasarkan kaum di negara ini untuk dijadikan alat dalam meraih sokongan terhadap mereka.

"Pembangkang mengajar rakyat untuk bersikap memberontak dan menentang kerajaan. Mereka hanya mahu mewujudkan sebuah masyarakat yang tidak dinamik dan tidak rasional," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment