My Add

Friday 11 May 2012

Lebih 2,700 lepasan STPM diterima jadi pelatih sukarela PLKN

KOTA BHARU, KHAMIS, 10 Mei, 2012: Lebih 2,700 pelajar lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) mencipta sejarah apabila terpilih mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) secara sukarela selama tiga bulan mulai 14 Mei ini. 

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil, berkata pengambilan lepasan STPM itu dibuat selepas disarankan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan mendapat persetujuan Kementerian Pertahanan yang menyelia program berkenaan.

"Ia pertama kali dalam sejarah PLKN di mana bekas pelajar tingkatan enam yang tamat STPM baru-baru ini yang sudah tahu keputusan peperiksaan menyertai program ini secara sukarela.

"Ia juga dikhususkan kepada bekas pelajar tingkatan enam yang tidak terpilih untuk mengikuti PLKN sebelum ini," katanya ketika ditemui pemberita di Mahkamah Tinggi di sini selepas menghadiri satu kes saman membabitkan JLKN hari ini. 

Abdul Hadi berkata, selain mendapat kemudahan sama seperti pelatih wajib PLKN termasuk elaun, peserta sukarela juga mendapat bonus tambahan apabila Kementerian Pelajaran bersetuju untuk menambah markah bagi aktiviti ko-kurikulum mereka. 

"Mereka akan mendapat lebih markah tambahan (untuk aktiviti ko-kurikulum) bagi memasuki universiti kelak kerana ia dipersetujui di antara JLKN dan Kementerian Pelajaran. 

"Walaupun ia tidak wajib dan mereka dianggap sebagai peserta sukarela tetapi mereka akan dapat kemudahan seperti pelatih yang wajib termasuk elaun bulanan," katanya. 

Abdul Hadi berkata, ia adalah peluang terbaik kepada pelajar berkenaan bagi mengisi masa lapang mereka selama tiga bulan sebelum menyambung pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) September depan. 

Selain penghantaran surat, katanya peserta sukarela yang terpilih boleh juga menyemak nama mereka di dalam laman web JKLN. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment