My Add

Saturday 5 May 2012

Melaka, Johor terus jadi kubu kuat Barisan Nasional

MELAKA, SABTU, 05 Mei, 2012: Johor dan Melaka akan terus menjadi kubu kuat UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang, kata Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Abdul Ghani berkata, UMNO dan BN masih menjadi parti kukuh yang mendapat sokongan padu sebahagian besar rakyat Johor.

"Kali ini saya percaya, kita atas nama UMNO dan parti komponen Barisan Nasional yang lain akan dapat bersama menghadapi pilihan raya dan menawan (memenangi) kerusi," katanya kepada pemberita selepas majlis Larian Bendera sempena sambutan Ulang Tahun UMNO ke-66 di Dataran Sungai Rambai di sini, hari ini.

Pada majlis tersebut, seramai 3,000 ahli UMNO dari Johor dan Melaka berkumpul di kawasan berkenaan kira-kira jam 9 pagi tadi, bagi menyaksikan penyerahan bendera UMNO daripada Menteri Besar Johor kepada Ketua Menteri Melaka.

Larian bendera itu akan merentasi Melaka membabitkan 113 kilometer sebelum diserahkan kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan di Kuala Linggi, esok.

Abdul Ghani berkata, sehingga kini, UMNO masih kekal sebagai satu daripada kekuatan politik di kalangan parti komponen BN dan kerajaan berdasarkan kredibiliti dan relevannya dalam memperjuangkan kepentingan bangsa Melayu serta rakyat Malaysia secara berterusan.

Sementara itu, Mohd Ali berkata, UMNO Melaka turut mempunyai rekod cemerlang pada pilihan raya sebelum ini apabila berjaya mempertahankan kerusi milik parti berkenaan dan BN di negeri itu. 

"Kita percaya rekod itu akan dapat dikekalkan pada pilihan raya akan datang dan kita yakin BN akan dapat menawan kembali beberapa kerusi daripada pembangkang," katanya.

Beliau berkata, keyakinan itu dilihat melalui sokongan rakyat yang semakin meningkat berikutan tindakan pembangkang yang sering menimbulkan suasana tidak harmoni serta sering gagal memenuhi janji mereka untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Pada masa sama, kedua-dua pemimpin itu turut mengingatkan ahli UMNO supaya berhati-hati dengan cubaan pihak tertentu yang ingin menggugat UMNO seterusnya melumpuhkan kekuatan parti tersebut. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment