My Add

Monday 21 May 2012

Muzakarah sesama pemimpin Pas dahulu

Oleh RADHUAN HUSSAIN
MARANG, AHAD, 20 Mei, 2012; Para pemimpin Pas sewajarnya mengadakan muzakarah sesama mereka terlebih dahulu sebelum bermuzakarah dengan UMNO.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, ini kerana, pada masa ini wujud percanggahan pendapat dalam kalangan mereka sehingga mengelirukan ahli dan rakyat khususnya umat Islam.

"Pas pun bercelaru. Ada pemimpin mereka yang bantah dan ada yang sokong. Ada yang kenakan syarat seolah-olah tidak ikhlas nak bermuzakarah demi kebaikan ummah.

"Jadi, sebelum bermuzakarah dengan UMNO, mereka kena muzakarah sesama mereka terlebih dahulu," katanya selepas menghadiri Program Mesra Rakyat Bersama Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah di Padang Bola Mercang dekat sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Yahya Khatib Mohamad; Ketua UMNO Bahagian Dungun, Datuk Rosli Mat Hassan dan Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ibrahim Muhamad.

Di KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata Pas perlu ikhlas tanpa meletakkan sebarang syarat jika mahu muzakarah dengan UMNO direalisasikan demi masa depan umat Islam negara ini.

Katanya, ia termasuk mengetepikan soal membentuk kerajaan campuran, sebaliknya, memberi tumpuan kepada kerjasama dalam isu-isu tertentu.

"Muzakarah ini perkara baik. Apa salahnya UMNO dan Pas berbincang dari hati ke hati dengan penuh keikhlasan untuk mencari persamaan demi masa depan ummah.

"Saya yakin di pihak UMNO termasuk pemimpin dan ahli amat mengalu-alukan perkara ini tetapi apa yang kita bimbang rakan kita dalam Pas, sekarang ini pun nampak ada perbezaan dalam kalangan mereka dan tidak konsisten dalam hal ini," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada majlis penerangan mengenai dasar kerajaan dan isu semasa kepada pesara guru Parlimen Bagan Datoh, di sini. UTUSAN

No comments:

Post a Comment