My Add

Sunday 27 May 2012

Negara perlukan badan selia dan litar lumba drag

Oleh NURULANUAR MANSOR
PUTRAJAYA, AHAD, 27 Mei, 2012: Malaysia amat memerlukan satu badan penyelia sukan lumba drag bagi menjaga piawaiannya serta membersihkan tanggapan negatif terhadap sukan permotoran ekstrem seperti itu.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, badan penyelia itu dapat menaikkan tahap profesionalisme sukan yang popular di kalangan golongan muda itu.

Selain itu, beliau berkata, prasarana seperti litar lumba khusus bagi aktiviti lumba drag juga perlu diwujudkan bagi menghalang golongan belia daripada terus terlibat dengan aktiviti lumba haram.

"Badan selia akan dapat menaikkan piawaian dan standard sukan lumba drag, dan saya yakin ia juga akan dapat membantu melahirkan pelumba professional bertaraf dunia tempatan.

"Sementara litar lumba drag pula membolehkan mereka yang meminati sukan ini mengasah bakat mereka tanpa melibatkan diri dengan kegiatan yang menyalahi undang-undang," kata beliau ketika melawat lokasi kemalangan semasa perlumbaan drag di Lebuh Wadi Ehsan, Presint 19 di sini pagi tadi.

Kemalangan pada pukul 12 malam tadi yang mengakibatkan 17 penonton cedera itu berlaku sewaktu sesi ujian perlumbaan yang diadakan sempena Himpunan Jutaan Belia 2012.

Mengulas perkara berkaitan, Shabery berkata, kemalangan itu juga menunjukkan kepentingan penubuhan badan penyelia dan litar khusus bagi lumba drag.

Jelas beliau, badan selia dan litar khusus itu juga bakal membolehkan tahap keselamatan penonton dan pelumba dipertingkatkan.

Justeru, Shabery memaklumkan bahawa beliau akan berbincang dengan beberapa pihak mengenai cadangan itu seterusnya membawanya ke Kabinet untuk dipertimbangkan. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment