My Add

Monday 21 May 2012

Nicol takluk Terbuka Britain

              Nicol David

KUALA LUMPUR, AHAD, 20 Mei, 2012: Pemain skuasy nombor satu wanita dunia, Datuk Nicol David terus menambah gelaran bagi musim 2012 apabila memenangi Terbuka Britain 2012 menewaskan Nour El Sherbini dari Mesir 11-6, 11-6, 11-6 semalam.

Juara Terbuka Kuala Lumpur 2012 itu, berjaya merangkul kejuaraan Terbuka Britain buat kali keempat selepas menumbangkan pemain pilihan ke-16 kejohanan itu dalam tempoh kurang sejam.

Pemain kelahiran Pulau Pinang itu sebelum ini berjaya menempah ke peringkat akhir selepas menjinakkan pemain England, Laura Massaro manakala Nour, 16, pula mengetepikan rakan senegara Raneem El Weleily.

Kemenangan semalam mengimbau kembali kegemilangan Nicol yang berjaya menawan Terbuka Britain pada 2005, 2006 dan 2008 tatkala kejohanan ini tidak diadakan pada 2010 dan 2011 sebelum ia kembali diadakan semula tahun ini.

Pada 2009 hasrat pemain nombor satu dunia itu untuk mara ke saingan akhir disekat Madeline Perry dari Ireland apabila dia tewas di suku akhir.

Setakat ini Nicol cemerlang dengan merangkul tiga kejuaraan untuk musim 2012, awal tahun ini dia berjaya muncul juara Kejohanan Siri Dunia, sebelum memenangi Cleveland Classic pada Februari dan terbaru Terbuka Kuala Lumpur Mac lalu.

“Saya begitu bersemangat untuk bermain dengannya, dia seorang pemain yang hebat. Memang saya menang 3-0 tetapi ia bukannya mudah. Dia membuat pukulan dengan baik sekali. Dia baru berusia 16 tahun dan sedang meningkat naik, saya harus perbaiki permainan saya kerana dia akan mempamerkan peningkatan selepas ini," kata Nicol. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment