MACHANG, SABTU, 26 Mei, 2012: Dewan Pemuda Pas mahu orang Melayu dan Islam sahaja menjadi Perdana Menteri di negara ini.
Timbalan Ketuanya, Nik Abduh Nik Aziz berkata, ia berdasarkan situasi semasa negara ini yang penduduk Melayu beragama Islam adalah majoriti.
Malah, beliau turut bersetuju dengan Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib yang menegaskan akan menentang sebarang usaha untuk melonjakkan dalam kalangan bukan Melayu dan bukan Islam menerajui negara ini.
"Saya senada dengan Ketua Dewan Ulama Pas. Cuma kita melihat dalam konteks semasa orang Melayu dan muslim lebih berhak sebab majoriti, tetapi asas dalam sebuah kerajaan Islam, pemimpin mestilah muslim, bangsa tidak diambil kira.
"Kalau Karpal sebut mengenai bangsa tidak kisah tetapi bukan Islam menjadi Perdana Menteri, kita tolak. Kita sebut dalam konteks semasa Melayu lebih layak sebab ia majoriti, ini tanah Melayu," katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian Muktamar Dewan Ulama Pas Kelantan, di sini hari ini.
Muktamar tersebut dirasmikan oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat. Turut hadir, Ketua Dewan Ulama Pas Kelantan, Datuk Mohamad Daud Iraqi.
Beliau mengulas ketegasan Pengerusi DAP, Karpal Singh bahawa beliau akan terus berjuang bagi memastikan seorang bukan Melayu menyandang jawatan Perdana Menteri.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang enggan menyanggah hasrat Karpal tersebut.
Harun dalam laporan sebelum ini menyebut, beliau menentang sebarang usaha untuk melonjakkan dalam kalangan bukan Melayu atau bukan Islam menerajui negara ini.
Menurut Harun, Pas sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam tentunya akan terus memastikan ia tidak akan berlaku.
Dalam perkembangan sama, Nik Abduh menyifatkan pandangan Karpal sebagai isu remeh yang tidak dipandang oleh parti-parti dalam pakatan pembangkang.
"Kita melihat ia (kenyataan Karpal) tidak memberi kesan sebab benda ini berulang, Karpal sebut benda bersifat konflik ini berulang-ulang.
"Dan parti dalam pakatan pembangkang menjadikan isu Karpal ini isu tidak dipandang serius disebabkan ia bersifat peribadi," katanya.
Beliau bagaimanapun menyerahkan kepada kepemimpinan Pusat pakatan pembangkang sama ada mahu menyelar Karpal atau sebaliknya kerana sering mengeluarkan kenyataan yang boleh mengeruhkan keadaan.
Beliau juga yakin kenyataan Karpal tidak menjejaskan sokongan rakyat terhadap Pas pada pilihan raya umum kelak kerana mereka sudah memahami sifat pemimpin veteran DAP itu. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment