My Add

Tuesday 1 May 2012

Penetapan gaji minimum swasta perlu diterima

Diasaskan oleh pakar ekonomi, bukannya ahli politik: Subramaniam

KUANTAN, SELASA, 01 Mei, 2012: Penetapan kadar gaji minimum pekerja swasta perlu diterima dan bukan dipolitikkan kerana ia diasaskan oleh mereka yang pakar dalam bidang ekonomi, bukannya ahli politik kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S Subramaniam. 

"Kadar gaji minimum ini bukan diwujudkan oleh pihak politik tetapi diasaskan
menerusi input Jawatankuasa Teknikal Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) iaitu penyelaras-penyelaras ekonomi serta Bank Dunia yang telah membuat kajian mendalam sebelum kadar itu diterima oleh majlis-majlis yang diwakili para
majikan dan pekerja," katanya selepas menghadiri majlis Sambutan Hari Pekerja Sektor Awam Peringkat Kebangsaan 2012 di sini, hari ini. 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penetapan kadar 
gaji minimum swasta iaitu RM900 bagi Semenanjung dan RM800 di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sempena sambutan Hari Pekerja, di Putrajaya malam tadi. 

Menurutnya, sebelum kadar itu ditetapkan, pihak majikan dan pekerja mempunyai pandangan yang berbeza namun setelah mengambil kira semua perkara ke dalam 
perbincangan bersama maka akhirnya kadar itu dipersetujui. 

"Memang majikan mahu kadar yang lebih rendah manakala pekerja mahu kadar 
yang lebih tinggi, ada pihak yang cakap kadar perlu lebih RM1,200 atau RM1,300 
tetapi kalau mengikut kajian yang dibuat, kalau lebih RM1,000 maka implikasi 
kepada ekonomi kita teruk dan kesan negatif lain seperti meningkatkan 
pengangguran. 

"Tetapi selepas semua pihak berbincang tentang perkara ini maka satu 
persetujuan telah dicapai iaitu dengan kadar tersebut yang dianggap munasabah 
dan tidak memberikan implikasi negatif kepada ekonomi," katanya. 

Subramaniam berkata, dua perkara utama yang diambil kira oleh Jawatankuasa 
Teknikal MPGN dalam kajian berhubung kadar gaji minimum ialah dari segi indeks garis kemiskinan dan gaji penengah. 

Menurutnya, kajian juga dibuat bersandarkan kepada tiga faktor lain iaitu 
Indeks Harga Pengguna (CPI) yang merujuk kepada kos kehidupan semasa, aspek 
produktiviti dan kadar pengangguran. 

"Sebelum kadar RM800 ditetapkan di Sabah dan Sarawak, wakil-wakil majikan di 
kedua-dua negeri itu meminta gaji minimum sebanyak RM700 tetapi ia di bawah 
paras garis kemiskinan iaitu RM800 jadi kita tetapkan kadar di kedua-dua negeri 
itu RM800, kalau lebih RM800 industri kecil dan sederhana pula tidak mampu dan 
akan menyebabkan mereka kerugian," katanya. 

Bagaimanapun, beliau berkata, kadar gaji minimum di Sabah dan Sarawak itu akan 
diselaraskan dengan kadar gaji di Semenanjung selepas ekonomi di sana semakin 
meningkat pada masa akan datang. 

Mengulas lanjut, Subramaniam berkata, dia tidak menolak kemungkinan kadar 
gaji minumum swasta ini akan dipolitikkan oleh pihak-pihak tertentu yang 
mengambil kesempatan menangguk di air keruh terutamanya pada musim menjelang pilihan raya umum. 

"Perkara ini akan dipolitikkan oleh pihak-pihak tertentu, kalau ada orang 
tidak bertanggungjawab cakap RM1,500 sepatutnya kadar miminum, saya cabar mereka buat di kawasan masing-masing, saya yakin mesti tutup kilang kerana mereka keluarkan kenyataan ini hanya untuk kepentingan politik," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment