My Add

Sunday 20 May 2012

PM mahu penuntut Malaysia manfaat peluang di luar negara

WASHINGTON, AHAD, 20 Mei, 2012: Penuntut Malaysia patut melihat dunia ini sebagai satu pentas dan memanfaatkan pelbagai peluang yang terdapat di luar negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di sini selepas majlis makan tengah hari dan solat Jumaat dengan pelajar dan warga kerja kedutaan. 

"Anda boleh kekalkan jati diri anda dan juga mempunyai persepktif global dengan mendapatkan pengalaman kerja dan penguasaan dalam beberapa bahasa," kata Najib yang berada di sini bagi lawatan peribadi.

Beliau berkata, penuntut wajar memanfaatkan program latihan atau internship seperti yang diusahakan oleh Dewan Perdagangan Malaysia-AS di sini, dengan kerjasama Education Malaysia di Washington DC, yang membuka pintu kepada penuntut Malaysia di AS untuk menjalani latihan dengan syarikat milik Malaysia atau Amerika sama ada di Malaysia atau Amerika Syarikat pada musim panas untuk meningkatkan pengalaman pembelajaran mereka.

"Malahan jika anda bekerja di AS, kami tidak akan kehilangan anda selama-lamanya," katanya pada majlis tengah hari pada Jumaat lalu yang dianjurkan oleh Duta, Datuk Othman Hashim. 

Najib diiringi Duta Khas Malaysia ke AS, Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis. 

"Tugas saya ialah mewujudkan sebanyak peluang yang boleh; selebihnya, terpulang kepada anda," kata Perdana Menteri kepada kira-kira 30 penuntut Malaysia yang sedang melanjutkan pelajaran dalam jurusan kejuruteraan, bioteknologi dan sains aktuari di Stevens Institute of Technology, New Jersey; Rutgers University, New Jersey; Temple University, Pennsylvania; dan Purdue University, Indiana. 

Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor sedang melakukan lawatan peribadi bagi menghadiri majlis konvokesyen anak mereka Nor Ashman pada Sabtu.

Perdana Menteri secara berseloroh turut menceritakan perasaan "terkejutnya" ketika melawat bilik asrama anaknya itu di Washington DC, apabila mendapati tidak terdapat banyak buku di situ. 

Menyedari kebimbangan bapanya itu, Nor Ashman menenangkan beliau dengan mengatakan yang dirinya tidak perlukan banyak buku kerana boleh membaca secara digital dan ini dibuktikan menerusi keputusannya. 

Sebagaimana bapa lain yang berbangga dengan pencapaian anak mereka, Najib dengan perasaan gembira menyatakan anak lelakinya yang berumur 21 tahun itu mencatatkan keputusan di luar jangkaannya apabila menamatkan pengajian ijazah Sarjana Muda Hal Ehwal Antarabangsa dengan kepujian `Magna cum Laude' dan memperoleh gred purata CGPA 3.71 daripada Georgetown University. 

Perdana Menteri turut menyentuh mengenai konsep 1Malaysia, sambil menegaskan ia buka sekadar slogan tetapi inisiatif untuk menjadikan Malaysia inklusif; bahawa Malaysia bukan hanya untuk kumpulan etnik tertentu, tetapi bagi semua rakyat Malaysia. 

Beliau turut memberikan perkembangan terkini kepada penuntut Malaysia mengenai beberapa projek pembangunan di Malaysia, termasuk kompleks Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) yang dilancarkan Petronas di Pengerang, Johor, tambahan kepada kompleks petrokimia yang dimajukan sebuah syarikat Taiwan, yang dijangka mewujudkan kira-kira 5,000 peluang kerja secara tetap dan tambahan 5,000 peluang kerja secara kontrak. 

Najib turut memperkatakan mengenai projek Sungai Nadi Kehidupan (RoL) bagi membangunkan sungai Klang dan sungai Gombak sebagai tebingan sungai yang indah dan menarik di samping meningkatkan daya maju ekonomi di kawasan berkenaan. 

"Kami perlu membuat kek yang lebih besar dan mengagihkannya kepada semua rakyat Malaysia," katanya dan menurutnya ekonomi Malaysia semakin baik dan kerajaan tahun lalu mengutip RM26 bilion bagi hasil cukai berikutan langkah-langkah tegas yang dilaksanakan untuk mengutip cukai. 

Ekonomi yang semakin baik juga telah membolehkan kerajaan menghulurkan bantuan kewangan sebanyak RM500 kepada kira-kira empat juta isi rumah dengan pendapatan kurang RM3,000 sebulan. 

Mengenai politik, Najib melahirkan rasa kecewa dengan perhimpunan Bersih 3.0 yang beliau sifatkan sebagai "tidak terlalu bersih" (aman) selepas ia "dirampas" oleh pihak-pihak yang mempunyai agenda mereka tersendiri untuk mewujudkan persepsi bahawa negara tidak stabil. 

Katanya, penunjuk perasaan yang bertindak ganas itu telah menolak tawaran kerajaan bagi mengadakan perhimpunan di tempat yang sesuai dan kemudiannya melanggar undang-undang, yang mengakibatkan keadaan bertukar menjadi ganas dan kecoh di mana malahan pegawai polis turut diserang. 

Najib membandingkannya dengan perhimpunan besar-besaran UMNO yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil di mana 100,000 orang berhimpun secara aman tanpa sebarang kejadian tidak diingini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment