My Add

Sunday 13 May 2012

PRU13: Pas tunda muktamar bulan Jun

MOHAMMAD FAIRUZ JUMAIN 
KUALA LUMPUR, AHAD, 13 Mei, 2012: Pas mengumumkan muktamar tahunannya yang dijadualkan pada bulan depan ditunda sehingga November ekoran desas-desus mengatakan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) jatuh pada bulan yang sama.

Perkara itu diumumkan oleh Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini, lapor SINAR HARIAN

Sebagai pengganti katanya, Pas akan mengadakan satu perhimpunan raksasa di Alor Setar pada 1 Jun, dijangka akan disertai oleh 100,000 anggota parti.

“Oleh kerana tarikh PRU13 pada bila-bila masa sahaja, maka untuk persiapan kita menunda tarikh muktamar pada November.

“Pengarah perhimpunan raksasa ini nanti adalah Naib Presiden, Datuk Mahfuz Omar,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat ahli jawatankuasa kerja Pas Pusat hari ini.

Sementara itu Hadi berkata, Pas bersedia membuka pintu dan bermuzakarah dengan semua badan bukan kerajaan (NGO) Islam termasuklah Umno bagi menyelesaikan isu dakwaan yang mengatakan perjuangan parti tersebut sudah jauh terpesong dari perjuangan asal.

Katanya, dakwaan seperti ini adalah serius dan menegaskan Pas sentiasa konsisten berpegang dengan perjuangan asal iaitu memartabatkan agama Islam di negara ini.

“Pas bersedia bermuzakarah dengan semua pihak, pejabat Pas sentiasa terbuka termasuklah kepada Umno sendiri.

“Pas ada majlis Syura Ulama, oleh itu Pas sentiasa memelihara Islam dan bersedia berbincang isu-isu melibatkan umat Islam,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Namun, sejurus selepas Hadi berkata demikian, Naib Presiden, Datuk Mahfuz Omar mencelah dengan mengatakan “tidak muzakarah dengan Umno”.

Kelmarin, Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali mencadangkan Majlis Fatwa Kebangsaan membincangkan kewajaran Pas menggugurkan perkataan Islam pada parti itu bagi mengelakkan kekeliruan.

Mengulas mengenai kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang menggesa Hadi berhenti mengeluarkan kenyataan mengenai hudud, beliau menegaskan, Karpal seharusnya meraikan perbezaan pendapat ini.

Katanya, apa yang paling penting sekarang adalah semua parti komponen Pakatan Rakyat (PR) perlu fokus kepada persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

“Isu ini jelas, boleh rujuk kenyataan saya sebelum ini. Kita perlu tumpu apa yang berlaku sekarang, perkara itu apabila kita sudah perintah nanti, sekarang belum lagi,” katanya.


No comments:

Post a Comment