My Add

Tuesday 15 May 2012

Saidin Thamby dibenar guna semula gelaran 'Datuk'

SHAH ALAM, SELASA, 15 Mei, 2012: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan membenarkan bekas Exco kerajaan negeri Selangor Saidin Thamby dan bekas Pengurus Besar Kanan (Pelaburan) Lembaga Tabung Haji, Mohamed Shafie menggunakan semula gelaran 'Datuk' berikutan mereka dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan daripada pertuduhan masing-masing. 

Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohammed Khusrin Munawi, berkata Sultan Selangor turut berkenan menarik balik gelaran 'Datuk' yang dikurniakan kepada bekas dekan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Md Saberi Md Salleh pada 1999, berikutan dijatuhi hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Rayuan pada 20 Jan lepas kerana kesalahan rasuah.

Sultan Selangor berkenan membuat keputusan itu yang berkuatkuasa pada 23 April lepas selepas berunding dengan Dewan DiRaja Selangor yang bersidang untuk kali ke-132 pada hari yang sama, kata Mohammed Khusrin dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Saidin dan Mohammed telah digantung daripada mengunakan gelaran "Datuk" pada 30 Okt 2004 selepas dijatuhi hukuman mahkamah di atas kesalahan masing-masing. 

Bagaimanapun pada 6 April lalu, Mahkamah Rayuan telah melepas dan membebaskan Saidin, 76, daripada tuduhan menerima rasuah sekeping cek bernilai RM1 juta pada 1997 selepas menolak rayuan terakhir pihak pendakwaan. 

Sementara Mohamed, 62, yang dihukum penjara 10 tahun atas kesalahan pecah amanah dan menipu melibatkan wang RM200 juta milik Tabung Haji dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan pada 16 Februari lalu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment