My Add

Sunday 13 May 2012

Selangor hadapi masalah air serius dua tahun lagi

PETALING JAYA, SABTU, 12 Mei, 2012: Selangor bakal berdepan masalah kekurangan bekalan air yang serius dalam tempoh dua tahun lagi jika kerajaan negeri tidak mengambil sebarang langkah mengatasinya dari sekarang.

Menurur BERNAMA, Pengerusi Eksekutif Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) Tan Sri Rozali Ismail berkata Syabas telah mengemukakan maklumat terperinci berhubung kawasan yang kini dilanda masalah air yang serius kepada semua pihak terlibat termasuk kerajaan negeri.

"Kalau kerajaan negeri tidak percaya, mereka boleh 'challenge' (cabar) data-data ini. Hantarlah mana-mana konsultan dari luar untuk periksa data air yang kita proses.

"Fakta ini tidak boleh dinafikan. Kalau keadaan dah bertambah teruk masa itu nanti, nak cakap apa pun pada rakyat sudah tiada gunanya," katanya kepada pemberita pada program migrasi ke meter individu di Pangsapuri Desa Perangsang, Taman Medan di sini, hari ini.

Beliau meminta kerajaan Selangor supaya segera menyelesaikan isu itu termasuk dengan melaksanakan projek Loji Langat 2 dengan Kerajaan Persekutuan, yang bertujuan menyalurkan air mentah proses dari Pahang ke Selangor.

Ditanya mengenai titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang meminta isu air di Selangor tidak dipolitikkan, Rozali berharap Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan negeri Selangor dapat berunding untuk menyelesaikan isu air itu.

"Syabas diberi mandat oleh kedua-dua kerajaan ini, jadi kita mahukan penyelesaian terbaik untuk rakyat," katanya. 

Dalam pada itu, Rozali berkata Syabas menerima 1,257 permohonan migrasi ke meter individu yang melibatkan 256,471 akaun dengan kira-kira 50,000 akaun telah ditukar kepada akaun individu bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini.

"Polisi kita sekarang adalah untuk menukar semua meter pukal kepada meter individu dan kami harap semua meter pukal dapat ditukar menjelang akhir tahun ini," katanya.

Beliau menjelaskan tarif air bagi meter individu adalah lebih murah berbanding meter pukal dengan kadar bayaran minimum bulanan bagi meter individu adalah RM6 berbanding RM35 bagi meter pukal.

Rozali berkata Syabas juga berdepan masalah bil tertunggak melibatkan meter pukal sebanyak RM10 juta. 
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak didakwa tidak bersifat kenegaraan kerana hanya melihat isu air di Selangor sebagai isu politik.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar) berkata, harga air akan meningkat dua kali ganda sekiranya projek pembinaan Loji Rawatan Air Sungai Langat 2 (Langat 2) diteruskan.

“Ini akan membebankan rakyat yang terpaksa menanggung bayaran tinggi.

“Perdana Menteri sepatutnya mengambil kira keutamaan rakyat dulu. Sebab itu Sultan Selangor (Sultan Sharafuddin Idris Shah) telah nasihat Kerajaan Negeri supaya jangan politikkan isu air,” katanya selepas melancarkan Majlis Perasmian Bulan Melawat Kuala Langat, semalam.

Menurut Sinar Harian, Abdul Khalid turut menegaskan, Kerajaan Negeri tidak akan menerima projek pembinaan Langat 2 sehinggalah penstrukturan bekalan air di negeri ini selesai.

Menurut Abdul Khalid, beliau memberi jaminan, kenaikan harga air paling maksimum hanya 12 peratus sahaja, manakala pemberian air percuma sebanyak 20 meter padu akan diteruskan jika Kerajaan Pusat bersetuju melakukan penstrukturan semula bekalan air.

Beliau berkata, Selangor kekurangan air bersih, tetapi bekalan air mentah lebih daripada mencukupi, bagaimanapun syarikat konsesi air di negeri ini dikatakan tidak mengurusnya dengan baik.

“Konsesi air tidak menggunakan kepakaran secara optimum sehingga menyebabkan kebocoran air,” katanya.

Selasa lalu Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah meminta Kerajaan Negeri tidak mempolitikkan isu air kerana ia sumber yang amat diperlukan rakyat dan untuk pembangunan negeri.

Baginda bertitah, tindakan itu boleh memburukkan imej Selangor sebagai sebuah negeri maju serta mengakibatkan pelabur luar beralih arah dan melabur di tempat lain.

Baginda mengingatkan Kerajaan Negeri bahawa air amat perlu untuk kehidupan rakyat dan juga pembangunan negeri dan baginda tidak mahu Selangor berhadapan dengan krisis air yang boleh menjejaskan nama baiknya.

Sementara itu, mengulas mengenai program itu, Abdul Khalid berkata, ia memberi peluang yang lebih luas kepada beliau dan Exco Kerajaan Negeri dapat menyelami masalah rakyat di sini.

Beliau menyarankan supaya Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) dan Pejabat Daerah Kuala Langat supaya dapat memikirkan cara untuk menarik lebih ramai pelancong ke kawasan ini.


No comments:

Post a Comment