My Add

Sunday 27 May 2012

Seorang lagi penumpang nahas bas meninggal dunia

GEORGETOWN, AHAD, 27 Mei, 2012: Seorang lagi penumpang bas yang membawa 44 jemaah Tabligh warga Myanmar yang terbabas dan terjatuh ke dalam gaung di Jalan Tun Sardon di sini Jumaat lalu meninggal dunia malam tadi.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Hatta Md Zin berkata berkata, Soe Myint, 26, meninggal pada jam 9.50 malam di Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini.

"Mangsa yang mengalami kecederaan parah dihantar ke HPP pada malam Jumaat iaitu selepas kemalangan berkenaan dan meninggal dunia malam tadi," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, sehingga hari ini, 12 mangsa termasuk dua yang parah masih di rawat di HPP manakala bakinya dibenarkan pulang selepas mendapat rawatan sebagai pesakit luar.

"Pemandu bas terbabit masih dalam keadaan kritikal dan dirawat di HPP dan kita akan mengambil keterangan selepas dia sedar," katanya.

Hatta berkata, siasatan lanjut berhubung kemalangan itu masih dijalankan dan kes itu disiasat menurut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Punca kemalangan hanya akan diketahui selepas bas terbabit dikeluarkan dari gaung dan dibawa ke Pusat Pemeriksaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan lanjut," katanya. 

Dalam kejadian pada jam 8.30 malam itu, bas terbabit sedang membawa kumpulan jemaah berkenaan ke Masjid Daerah Barat Daya, Sungai Rusa untuk program ijtimak yang diadakan selama tiga hari mulai semalam sebelum dilaporkan hilang kawalan dan melanggar tiang elektrik serta terjunam ke dalam gaung sedalam 10 meter.

Bumbung bas tercabut hingga menyebabkan beberapa penumpangnya tercampak keluar. Seorang daripada mereka dikenali sebagai Abdul Jatba, 47, maut selepas dipercayai dihempap bas hingga tangan kanannya putus.

Siasatan juga mendapati bas berkenaan tidak mempunyai cukai jalan sejak tiga bulan lepas manakala pemandu bas terbabit mempunyai lima rekod kesalahan trafik. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment