My Add

Friday, 18 May 2012

Sultan Terengganu nasihat umat Islam tidak cetus huru-hara

KEMAMAN, JUMAAT, 18 Mei, 2012: Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin menasihati umat Islam di negara ini agar tidak mencetuskan huru-hara seperti di beberapa negara Timur Tengah kerana perbuatan itu bertentangan dengan ajaran Islam.

Baginda juga meluahkan rasa kecewa terhadap realiti perpaduan umat Islam di negara ini sekarang kerana ada yang saling menjatuhkan antara satu sama lain di samping masih wujud kelompok yang bersikap keakuan.

Titah baginda perpecahan sedemikian melemahkan Islam, apatah lagi jika berlaku huru-hara.

"Beta harap apa yang terjadi di negara Timur Tengah tidak terjadi di negara ini. Ingatlah peringatan Allah S.W.T di dalam kitab suci al-Quran.

"Umat Islam perlu hidup dalam keadaan berkasih sayang seperti saudara mara sendiri dan sekiranya berselisih faham perlulah kembali kepada ajaran al-Quran kerana sumber keamanan adalah al-Quran," titah baginda pada penutupan tilawah al-Quran peringkat negeri, di sini malam tadi.

Turut berangkat Sultanah Nur Zahirah. Hadir sama Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said dan isteri Toh Puan Seri Norliza Mahmud, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah dan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri Khazan Che Mat.

Dalam titah itu juga baginda menyeru kepada qari dan qariah agar dapat memainkan peranan menjadi pendorong kepada rakyat di negeri ini untuk mendalami al-Quran.

"Beta berharap qari dan qariah yang terpilih sebagai johan dan mara ke peringkat kebangsaan agar dapat mengharumkan nama Terengganu nanti. Niat perlu diperbetulkan agar kita mendapat keredaanNya," titah baginda lagi. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment