My Add

Sunday 20 May 2012

Tawaran Muzakarah Pas tidak ikhlas: UMNO Kedah

Umno Kedah simpati nasib Adun Kuala Nerang
NURUL FATIHAH SULAINI
ALOR SETAR, AHAD, 20 Mei, 2012: Tawaran Pas untuk mengadakan muzakarah dianggap sebagai strategi untuk mengalihkan tumpuan Umno daripada membuat persiapan rapi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, pelawaan itu dianggap tidak ikhlas kerana terdapat perbezaan pendapat antara pemimpin tertinggi Pas sendiri dan tidak konsisten dengan keputusan berkenaan.

Beliau percaya walaupun ada pemimpin Pas menyangkal muzakarah itu tidak mempunyai unsur politik, namun realiti adalah sebaliknya apabila mereka cuba mengambil tindakan meletakkan syarat ketat kepada UMNO untuk memulakannya.

“Kalau betul mereka mahu mengadakan muzakarah, mesti diadakan dalam tempoh terdekat bukannya selepas PRU13. Jika dibuat selepas PRU sudah tidak ada gunanya lagi hasrat untuk bermuzakarah.

“Kita tidak mahu ada perbalahan dan perpecahan yang berlaku dalam kalangan orang Melayu serta umat Islam,” katanya kepada Sinar Harian.

Bashah berkata, sepatutnya Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akur dengan keputusan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang menyambut baik respons positif UMNO khususnya Timbalan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersetuju mengadakan pertemuan.

Mengulas mengenai kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali yang mendakwa Muhyiddin mungkin tidak mengetahui niat asal Pas untuk mengadakan muzakarah iaitu bukan kerjasama politik, dianggap tidak relevan.

“Beliau (Muhyiddin) lebih mengetahui tentang perkara berkenaan dan tidak perlu diajar,” katanya.

Sinar Harian hari ini memetik Abdul Hadi sebagai berkata, UMNO tidak ikhlas untuk bermuzakarah dengan Pas apabila menggesa sistem pilihan raya dibetulkan terlebih dahulu sebelum menerusnya hasrat berkenaan. 

No comments:

Post a Comment