My Add

Wednesday 9 May 2012

Terharu hingga titis air mata

*PENEROKA FELDA Bukit Tangga, Bukit Kayu Hitam gembira ketika menyaksikan siaran langsung pengumuman pemberian durian runtuh oleh Perdana Menteri kepada warga FELDA dari FELDA Jengka 8, Pahang, semalam.

Peneroka anggap ‘durian runtuh’ usaha kerajaan bawa FELDA lebih gemilang

JERANTUT, SELASA, 08 Mei, 2012:: Rasa terharu hingga ada yang mengalirkan air mata!
Demikian suasana menyelubungi peneroka FELDA di sini, sejurus mendengar pengumuman mengenai ganjaran kewangan untuk mereka oleh Datuk Seri Najib Razak, hari ini.

Mereka menyifatkan ‘durian runtuh’ diumumkan Perdana Menteri adalah pengiktirafan dan usaha berterusan kerajaan membawa FELDA lebih gemilang di mata dunia.

Ketua Peneroka FELDA Jengka 16, Ismail Abdul Rahman, berkata dia tidak menyangka akan menerima imbuhan durian runtuh sebanyak itu yang memberikan manfaat bukan saja kepada peneroka malah isteri dan generasi kedua.

“Kami sangat menyanjungi usaha Perdana Menteri dalam memartabatkan FELDA untuk tidak hanya menjadi jaguh kampung tapi juara dunia.

“Pengagihan imbuhan juga sangat adil kerana tidak meminggirkan isteri dan anak peneroka yang turut berperanan secara langsung menjadikan FELDA sebagaimana dilihat hari ini,” katanya.

Maznah Mahat, 51, pula berkata imbuhan yang turut diterima isteri peneroka, jelas menunjukkan kerajaan mengiktiraf peranan mereka yang berhempas pulas menjayakan tanah rancangan FELDA.

“Saya sangat berbesar hati dan berterima kasih atas pengiktirafan ini,” katanya.

Sementara itu, generasi kedua FELDA Jengka Lapan, Syaidatul Noor Azirah Saidin, 22, pula menyifatkan agihan itu membolehkan setiap warga FELDA menikmati ganjaran daripada penyenaraian berkenaan.

“Kami terkejut dan tidak menyangka turut menerima tempias durian runtuh diumumkan Perdana Menteri.

“Apa pun saya harap generasi kedua dapat memanfaatkan sebaiknya imbuhan diberikan itu sebaik mungkin walaupun nilainya tidak sebanyak yang diterima isteri dan ketua keluarga,” katanya.

Sementara itu, kakitangan FELDA Jengka 17, Zaini Jamsari, 49, berkata imbuhan dua setengah bulan gaji yang diterima adalah hadiah dan penghargaan kepada mereka yang berhempas pulas membangunkan FELDA.

Katanya, petugas sebelum ini hanya mendengar imbuhan yang bakal diterima peneroka, pengumuman yang dibuat semalam adalah kejutan cukup bermakna kepada kakitangan dan petugas FELDA.

Di KOTA TINGGI, peneroka FELDA Air Tawar 2, Md Zahir Salikin, 63, berkata peneroka harus berfikir secara rasional dan tidak mudah terpengaruh dengan dakyah pembangkang.

Peneroka, Hamzah Abd Mutalib, 69, berkata sepanjang 40 tahun menjadi peneroka di FELDA Air Tawar 1, ia adalah satu pemberian terbesar serta luar biasa yang diberikan kerajaan.

Generasi kedua FELDA, Mohammad Shaari, 48, berkata, beliau dan adik beradik sudah sepakat memberikan wang itu kepada ibu bapa kami kerana mereka lebih berhak menerimanya. - BERITA HARIAN

No comments:

Post a Comment