My Add

Thursday 28 June 2012

Kes jenayah siber di Sabah berkurangan

KOTA KINABALU, RABU, 28 Jun, 2012: Jenayah siber menerusi media sosial seperti facebook, sistem pesanan ringkas (SMS) dan e-mel untuk mengeksploitasi mangsa di Sabah berkurangan iaitu 64 kes sehingga bulan ini berbanding 100 kes bagi tempoh yang sama tahun lalu. 

Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Wilayah Sabah dan Labuan, Bukhari Yahya, berkata jenayah siber di negeri itu tidak serius.

"Aduan yang kami terima masih tidak serius dengan jumlah yang tidak kritikal dan kebanyakan kes masih dalam siasatan," katanya kepada pemberita pada 'Seminar Wanita dan ICT' anjuran SKMM Pejabat Wilayah Sabah dan Labuan di sini hari ini.

Seminar sehari sempena Sambutan Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Bermaklumat Sedunia Negeri Sabah 2012 pada 28 Jun lalu dihadiri 120 kakitangan jabatan dan pertubuhan bukan kerajaan itu disempurnakan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Azizah Mohd Dun. 

Bagaimanapun, Bukhari menasihatkan kaum wanita di negara ini agar lebih berhati-hati berikutan golongan itu dilaporkan menggunakan lebih 10 peratus penggunaan telefon mudah alih untuk laman sosial berbanding lelaki. 

Sementara itu, Azizah mengalu-alukan kerjasama yang lebih meluas bersama SKMM bagi memberikan kesedaran kepada masyarakat mengenai ruang dan peluang yang diperoleh melalui penggunaan internet serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). 

Beliau juga berharap agar wanita sentiasa bijak dalam menggunakan kemahiran aplikasi internet dan mengelak daripada menjadi mangsa jenayah siber. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment