My Add

Thursday 28 June 2012

Jangan politikkan isu rasuah - Radzi

KUALA LUMPUR, RABU, 27 Jun, 2012: Isu rasuah tidak seharusnya dipolitikkan oleh mana-mana pihak kerana ia merupakan satu bentuk jenayah.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) Datuk Seri Mohd. Radzi Sheikh Ahmad berkata, sebaliknya, semua pihak perlu bersama-sama menangani rasuah bagi memastikan ia tidak berleluasa.

“Jangan politikkannya. Jangan main politik sangat. Apa saja main politik. Bila kita duduk dalam komuniti ini, kita tidak main politik. Kita minta orang lain juga jangan mempolitikkan isu rasuah ini," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menerima Laporan Tahunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada Ketua Pesuruhjaya suruhanjaya itu, Datuk Abu Kassim Mohamed.

Laporan tersebut selepas ini akan dinilai JKMR dan seterusnya sebuah lagi laporan akan dikeluarkan jawatankuasa berkenaan untuk dipanjangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib seterusnya akan membentangkan laporan jawatankuasa itu pada sesi persidangan Parlimen depan dan ia akan dibahaskan oleh wakil-wakil rakyat sebelum ia diluluskan.

Abu Kassim yang turut senada dengan Mohd. Radzi berkata, masyarakat perlu memainkan peranan dalam menolak tindakan mana-mana pihak yang mempolitikkan isu rasuah.

“Berhubung laporan yang kita serahkan hari ini, ia penting untuk memastikan SPRM sebuah suruhanjaya bebas.

“Ia menilai sama ada kita bertindak mengikut lunas undang-undang atau tidak kerana akauntabiliti kita adalah kepada rakyat," ujarnya.

Sementara itu, seorang ahli jawatankuasa tersebut mewakili pembangkang yang baru dilantik, Yusmadi Yusuf berkata, saranan agar tidak mempolitikkan rasuah adalah sesuatu yang dialu-alukan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment