My Add

Thursday 28 June 2012

FGV mahu tembusi pasaran Afrika

KUALA LUMPUR, RABU, 28 Jun, 2012: Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), yang membuat kemunculan sulungnya di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada harga RM5.39 sesaham, kini sedang mengkaji untuk menembusi pasaran di benua Afrika. 

"Kita akan melaksanakan model Felda -- satu skim merekayasa sosial -- di benua itu dalam tempoh satu hingga tiga tahun," kata Presiden Kumpulannya, Datuk Sabri Ahmad selepas majlis penyenaraian FGV hari ini.

Pengendali minyak sawit ketiga terbesar di dunia itu, mengikut keluasan kawasan yang ditanam, akan mengambil bahagian di dalam pembangunan estet nukleas dan memberikan lebih banyak penekanan pada pemprosesan serta perkhidmatan nasihat mengenai bahan penanaman.

"Model Felda kita berjaya di Malaysia dan kita berpengalaman selama 50 tahun. Kita mahu berkongsi pengalaman dengan negara-negara Afrika seperti Cameroon," katanya. 

Sekarang ini, ia mengendalikan kawasan perladangan kelapa sawit seluas kira-kira 350,000 hektar di Malaysia yang mengeluarkan 5.2 juta tan metrik tandan buah segar pada tahun lepas. 

Sabri berkata fokus segera FGV, berikutan kejayaan penyenaraian itu, ialah untuk memfokus mengenai cara-cara menembusi perniagaan hiliran secara berpilih-pilih, yang termasuk lelemak khusus dan oleokimia. 

"Strategi perniagaan hiliran kita akan melindungi perniagaan huluan dan kita akan terus fokus pada perladangan niagatani," katanya. 

Segmen perniagaan hilirannya kini termasuk pengeluaran kacang soya dan produk "canola" dan oleokimia. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment