My Add

Tuesday 29 January 2013

Kehilangan Nasharuddin dalam Pas bukan satu cabaran: Nik Aziz

KOTA BHARU, SELASA, 29 Januari, 2013: Pas tidak nampak cabaran yang akan dihadapinya jika bekas Timbalan Presiden, Nasharuddin Mat Isa meninggalkan parti itu dan menyokong parti politik lain.

"Sebagaimana orang bercerai laki bini, tidak apa yang mencabarnya jika sesuatu pasangan itu ditakdirkan berpisah," kata Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kepada pemberita ketika melawat pusat perusahaan madu lebah kelulut Min House Camp di Kampung Pulau, Kubang Kerian di sini, hari ini.

Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan diminta mengulas kedudukan bekas pemimpin nombor dua Pas itu jika menyertai parti lain selepas Nasharuddin, yang juga Ahli Parlimen Bachok, digugurkan daripada menganggotai Dewan Syura Ulama PAS.


Tindakan itu dipercayai diambil selepas Nasharuddin pulang daripada mengikuti rombongan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke Gaza baru-baru ini.

Semalam, dilaporkan Nasharuddin berkata beliau tetap akan terus memperjuangkan Islam walaupun tidak lagi menganggotai Majlis Syura Ulama Pas.

Sementara itu, bekas Setiausaha Dewan Ulama Pas Kelantan, Wan Ismail Wan Ahmad berkata tindakan terhadap Nasharuddin itu bukan perkara pelik.

Wan Ismail berkata, Pas kini dilihat semakin lari daripada perjuangan asal mereka untuk menubuhkan negara Islam sejak bersekongkol dengan Parti Keadilan Rakyat dan DAP. 

"Dulu saya pun dibuang, tapi saya bersyukur kena pecat sebab lihat Pas sudah lari daripada perjuangan asal (untuk menubuhkan negara Islam).

"Nasihat saya kepada beliau (Nasharuddin), kalau betul-betul nak perjuangkan Islam, buat parti lain," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Wan Ismail yang juga antara pengasas Pas berkata, tahaluf siasi yang diamalkan PAS dalam pakatan pembangkang sudah lari daripada konsep sebenar apabila dilihat lebih banyak tunduk dengan desakan yang dibuat rakan sekutu mereka.

"Konsep tahaluf siasi berlaku masa Nabi Muhammad SAW memerintah Madinah. Masa itu orang bukan Islam ikut apa yang Nabi kata. Saya lihat UMNO yang lebih betul (mengamalkan) konsep tahaluf siasi ini," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment