Ekonomi Malaysia terus baik: RBS
KUALA LUMPUR, SELASA, 29 Januari, 2013:: The Royal Bank of Scotland (RBS) berkata yang ia "kian positif" ke atas ekonomi Malaysia dengan negara menyaksikan pertumbuhan dan "dasar fiskal ketat" kerajaan.
Dalam laporan Tinjauan Ekonomi Asia 2013, ia berkata eksport dan import elektronik mencecah kitaran tekanan dan mula berkembang secara sederhana.
"Mencerminkan penambahbaikan ini serta membina semula inventori, aktiviti pembuatan melantun semula pada rentak yang lebih pantas. Peningkatan eksport telah memasuki tempoh permintaan domestik yang sedia kukuh," kata penganalisis RBS, Sanjay Mathur, yang juga ketua penyelidik ekonomi Asia Pasifik.
Laporan itu juga berkata, petunjuk pengguna termasuk jualan kereta penumpang dan "pengedaran mata wang" juga meningkat sejak dua bulan lalu dan coraknya mungkin kekal, dengan mengambil kira tahap sentimen pengguna dan tinjauan pekerja.
Petunjuk pelaburan seperti jualan kenderaan komersil, pengumpulan dana di pasaran modal dan import barangan modal juga kukuh sementara kerajaan terus mengetatkan dasar fiskalnya.
Sementara itu, minat asing dalam bon domestik berterusan, harga komoditi yang kukuh dan selera risiko global menyokong prestasi ringgit.
Bagaimanapun, ia menambah bahawa risiko utama ialah pilihan raya yang bakal diadakan serta elemen ketidakpastiannya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment