My Add

Tuesday, 29 January 2013

Muhyiddin jamin infrastruktur pendidikan luar bandar terus dipertingkat  


*MUHYIDDIN Yassin beramah mesra dan sarapan pagi bersama ahli Persatuan Peniaga Cina di Pasar Tamu, Kota Sentosa, Kuching, Sarawak, pagi ini. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

SIBU, SELASA, 29 Januari, 2013: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan kerajaan akan terus meningkatkan infrastruktur pendidikan di kawasan luar bandar seiring dengan penambahbaikan berterusan kualiti pendidikan negara.

Merujuk kepada situasi di Sarawak, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, antara menjadi tumpuan untuk ditingkatkan ialah ialah bangunan sekolah, kuarters guru dan peralatan pembelajaran yang akan dilakukan secara berperingkat-peringkat sekaligus menolak tanggapan ada diskriminasi infrastruktur pendidikan di luar bandar.

"Ini semua kita akan lakukan (peningkatan infrastruktur pendidikan) dan kita komited terhadap perkara tersebut," katanya di Program Guru Muda 1Malaysia (gm1m) di SMK Sacred Heart, Sibu, hari ini.

Muhyiddin berkata, peningkatan infrastruktur di luar bandar tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa kerana kedudukan geografi Sarawak yang besar yang memerlukan ia dilakukan secara sistematik.

Beliau berkata, komitmen kerajaan persekutuan terhadap pendidikan di luar bandar dibuktikan juga melalui pembentukan pelan transformasi sekolah pedalaman di Sabah dan Sarawak sekali gus membuktikan keprihatinan kerajaan dalam menjaga kepentingan penduduk luar bandar.

Muhyiddin berkata, mulai tahun ini Kementerian Pelajaran akan melaksanakan inisiatif yang selari dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) antaranya menilai 70,000 guru opsyen Bahasa Inggeris melalui Ujian Penempatan Cambridge (CPT) dan guru yang tidak mencapai kemahiran ditetapkan diberi latihan tambahan separuh masa.

Mengenai cadangan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang turut berucap pada majlis yang sama supaya sekolah-sekolah vokasional yang menawarkan pendidikan peringkat sijil ditambah di Sarawak, beliau berkata, Kementerian Pelajaran bersedia mengkaji cadangan itu.

Terdahulu, Abdul Taib mencadangkan supaya sekolah vokasional yang menawarkan pendidikan peringkat sijil ditambah di Sarawak namun subjek ditawarkan adalah berlainan dan mesti berdasarkan keperluan industri berat di negeri ini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment