SARIKEI, SELASA, 29 Januari, 2013: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini membidas pemimpin pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa Malaysia sedang menuju kemuflisan.
"Malah, kita ada banyak dana. Tahun lepas, contohnya, Lembaga Hasil Dalam Negeri memungut RM125 bilion sebagai pendapatan negara. Ini tidak pernah dicapai sebelum ini.
"Jadi, kedudukan kewangan kita sangat kukuh. Kita juga mengurus kewangan kita dengan sangat baik. Belum ada seorang pun penjawat awam yang tidak dibayar gajinya," kata beliau ketika berucap pada majlis bertemu rakyat yang dihadiri lebih 5,000 orang di Pusat Sivik di sini, hari ini.
Beliau berkata, tujuan Anwar menyebar pembohongan itu adalah semata-mata untuk memburuk-burukkan kerajaan Barisan Nasional (BN), lebih-lebih lagi memandangkan pilihan raya umum semakin hampir.
Muhyiddin berkata, dengan lebihan dana yang ada, lebih banyak program pembangunan akan dapat dilaksanakan untuk manfaat rakyat, terutama dalam bidang pendidikan di Sabah dan Sarawak.
"Sebenarnya, kerajaan BN adalah sebuah kerajaan yang memberi tumpuan kepada rakyat dan amat prihatin tentang kebajikan mereka, bukan seperti pembohongan yang disebar Anwar. Kami juga memberi fokus terhadap usaha membasmi kemiskinan dalam kalangan rakyat, sesuatu yang kami lakukan sejak lama dulu. Kini, kami mencapai kejayaan yang amat besar dalam aspek ini," katanya.
Muhyiddin berkata, tiada rakyat Malaysia yang mati akibat kebuluran, malah ramai daripada mereka obes kerana makanan terlalu banyak, hinggakan perkara ini menjadi masalah besar dalam kalangan pelajar di seluruh negara.
Di peringkat nasional, katanya, kadar kemiskinan hanya tiga peratus, manakala di Sarawak, kadarnya hanya empat hingga lima peratus.
"Kami ada program seperti e-kasih yang menyimpan data tentang kemiskinan tegar dan bentuk bantuan yang kami hulurkan kepada mereka. Terdapat kira-kira 45,000 isi rumah yang digolongkan sebagai miskin tegar.
"Kejayaan e-kasih diiktiraf Pertubuhan Bangsa Bersatu kerana tidak banyak negara di dunia, malah dalam kalangan negara maju, yang melaksanakannya," katanya.
Muhyiddin berkata, kerajaan BN akan meneruskan agenda menolong rakyat dan memastikan negara ini makmur, bersatu padu dan stabil dengan sokongan rakyat, tanpa mengira kaum dan agama.
"Pilihan raya umum adalah peluang terbaik bagi rakyat untuk menyatakan mereka mahu ia diteruskan dan mencapai lebih banyak kejayaan.
"Pilihan terletak di tangan anda. Sekali lagi, tolong beri mandat penuh anda kepada BN di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya.
Pada majlis itu, Muhyiddin mengumumkan pemberian geran RM45 juta untuk pembinaan Jalan Bukit Kuang-Tanjung Manis, termasuk sebuah jambatan. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment