My Add

Tuesday 29 January 2013

50 IBO dibuka untuk dibida: Najib

PUTRAJAYA, SELASA, 29 Januari, 2013: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan 50 peluang perniagaan inovasi (IBO) fasa ketiga dibuka untuk dibida kepada pelabur yang berminat.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Tadbir Urus Agensi Inovasi Malaysia (AIM) berkata, mereka yang berminat boleh melayari www.innovation.my untuk maklumat lanjut.

"Inisiatif yang dijalankan AIM untuk mempromosi inovasi dalam tiga bidang utama iaitu inovasi intelek, perniagaan dan sosial juga telah menghasilkan impak positif," kata beliau semasa mengumumkan Laporan AIM 2012 di sini, hari ini.

Lima puluh IBO fasa ketiga itu dijangka menjana pendapatan RM930 juta merangkumi sektor-sektor pertanian, kesihatan, komunikasi, nono-teknologi, pembinaan dan juga kegunaan rumah.

Dalam bidang inovasi intelek misalnya, AIM bekerjasama dengan industri berteknologi tinggi untuk penyelidikan Sel Stem, Kaedah Rawatan Injap Jantung tanpa pembedahan terbuka dan juga sistem Visualisasi Autopsi Digital.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga membenarkan AIM melabur dalam penyelidikan sel stem itu dengan KLSMC Stem Cells Sdn Bhd untuk teknologi menggunakan sel-sel stem darah dalam rawatan tulang rawan.

Di samping menerima pengiktirafan daripada Kementerian Kesihatan sebagai teknologi terkini bertaraf dunia, Najib berkata teknologi itu juga mendapat hak paten daripada Amerika Syarikat. 

AIM juga kata beliau, sudah menjalinkan kerjasama dengan Mardil Medical Inc untuk merawat masalah injap jantung tanpa memerlukan pembedahan terbuka dan satu perjanjian persefahaman ditandatangani antara Mardil Medical dengan Institut Jantung Negara untuk membangunkan sebuah pusat kecemerlangan Mardil-Asia Pasific.

Perdana Menteri berkata, pelaburan dalam syarikat I-Gene Sdn Bhd pula untuk mempelopori bidang autopsi digital dan visualisasi medikal.

Katanya, dalam bidang Biomas Nasional 2020 pula berpotensi menjana pendapatan RM30 bilion dan mewujudkan 66,000 peluang pekerjaan menerusi penubuhan tiga kilang pemprosesan biomas kepada pelet bahan api bagi kegunaan penjanaan tenaga. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment