My Add

Wednesday 6 February 2013

388 penyokong tegar Pas sertai UMNO

 *IDRIS Jusoh (dua dari kiri) menerima borang keahlian UMNO daripada Noor Yusof sempena Program Himpunan 1,000 Selamat Tinggal Pembangkang di Besut, semalam.

BESUT, SELASA, 05 Februari, 2013: Pendirian Pas yang tidak menentu dalam persoalan agama kerana dilihat tunduk kepada kehendak Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP semakin menghakis keyakinan penyokongnya.

Berasa seperti diperdayakan, seramai 388 ahli dan penyokong tegar Pas di empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Besut malam tadi, menyertai UMNO.

Dalam majlis Program Himpunan 1,000 Selamat Tinggal Pembangkang di Kampung Pengkalan Nyireh itu, kumpulan tersebut turut menyuarakan bantahan terhadap usaha pihak tertentu membenarkan kalimah Allah digunakan agama lain.

Kumpulan itu yang terdiri daripada 250 ahli Pas di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Putera, 83 (DUN Kuala Besut), 34 (DUN Jerteh) dan 21 (DUN Hulu Besut) menyerahkan borang keahlian UMNO kepada Ketua UMNO bahagian, Datuk Seri Idris Jusoh.

Bekas ahli Pas, Noor Yusof, 65, berkata, setelah 20 tahun menyokong Pas, dia menyedari parti itu semakin tidak mempedulikan perasaan umat Islam terutama dalam isu penggunaan kalimah Allah.

"Saya melihat Pas semakin menyimpang perjuangan asal mendaulat dan meletakkan Islam di tempat paling tinggi dan melihat UMNO lebih tetap pendiriannya.

"Apa yang UMNO buat walaupun tidak melaung-laungkan Islam tetapi banyak membantu rakyat dan tidak membawa kesusahan, tidak membawa perpecahan berbanding Pas," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Seorang lagi bekas ahli Pas, Ibrahim Mamat, 52, berkata, selama 15 tahun berada dalam Pas, dia dapat membuat kesimpulan parti yang sering mendakwa lebih Islam itu tidak mampu memerintah negara.

Katanya, kerjasama dengan DAP dan PKR yang terang-terangan menolak Islam menimbulkan persoalan dan kenyataan tidak konsisten pemimpin Pas berkenaan kerjasama itu dilihat cuba menipu ahli akar umbi.

Sementara itu, Idris dalam ucapannya mengalu-alukan penyertaan ahli dan pengikut Pas berkenaan dan menyifatkan sudah sampai masanya mereka beralih kepada UMNO yang benar-benar mendaulatkan Islam di samping memberi perhatian kepada masalah rakyat.

Katanya, lebih ramai ahli dan penyokong Pas akan mengikut jejak langkah kumpulan itu memandangkan banyak kece laruan timbul dalam Pas ketika ini sehingga mengundang rasa tidak puas hati ahli akar umbi mereka.

80 ahli Pas sertai UMNO


 *RAMLI Abdullah (tengah) mewakili ahli Pas Kampung Jerong Seberang dan Kampung Bukit Chempedak, Marang yang keluar parti menyerah borang keahlian UMNO kepada Ahmad Said di Kuala Terengganu kelmarin. - UTUSAN/Shaifudin Mohd Nor

Dari KUALA TERENGGANU, dilaporkan tidak mudah bagi penyokong Pas di Kampung Bukit Cempedak dan Jerong Seberang Marang di sini yang terkenal sebagai kawasan pengikut tegar parti itu secara terbuka mengisytiharkan menyertai UMNO.

Perkara itu memerlukan keberanian kerana mereka bakal berdepan risiko dibenci malah kemungkinan hilang sahabat-handai serta dipulau saudara-mara.

Namun kira-kira 80 penyokong Pas dari kawasan itu semalam, membulatkan tekad meninggalkan parti itu dengan menyerahkan borang keahlian UMNO kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said di kediaman rasmi beliau dalam majlis ringkas 'Selamat Tinggal Pas'.

Kebanyakan mereka ialah anak muda termasuk Mohd. Zulfadli Zakaria, 28, yang dibesarkan dalam keluarga yang hampir kesemuanya merupakan penyokong tegar Pas sehingga mempengaruhi pandangannya dalam berpolitik.

Menurut Mohd. Zulfadli, dia sebelum ini sering terlibat dengan aktiviti Pas khususnya di Kampung Bukit Cempedak sehingga dianggap sebagai antara 'tulang belakang' pemuda Pas di kawasan itu.

Namun anak ketiga daripada 11 beradik itu mula 'tawar hati' untuk terus bersama Pas selepas menyedari parti tersebut hanya menyemarakkan pergeseran dalam masyarakat serta gagal membawa perubahan termasuk mengabaikan pembangunan belia di kampungnya.

"Saya sudah cukup dewasa dan telah mempunyai keluarga sendiri. Jadi, apa yang saya buat sebenarnya atas pertimbangan saya sendiri dan tidak melibatkan mana-mana pihak termasuk ahli keluarga," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Seorang lagi bekas penyokong Pas, Zulharini Din, 40, berpendapat, janji kosong yang sering ditabur Pas antara sebab dia mengambil keputusan meninggalkan parti itu.

"Saya tidak percaya Pas mampu membawa perubahan kerana realitinya, mereka masih gagal mengatasi UMNO dalam usaha memenangi hati orang muda khususnya," ujarnya.

Dalam pada itu, wakil kumpulan itu, Ramli Abdullah, 53, berkata, kejayaan transformasi yang dibawa Barisan Nasional (BN) sehingga membawa banyak manfaat kepada rakyat antara punca dia menyertai UMNO.

"Tidak dinafikan ada pihak cuba melakukan provokasi dan menggagalkan hasrat kami bersama UMNO, namun saya anggap itu semua sebagai cabaran," ujarnya.

Sementara itu, Ahmad mengalu-alukan pendirian bekas penyokong Pas tersebut dan menganggapnya sebagai petunjuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang dan Bukit Payong yang selama ini menjadi kubu kuat Pas boleh dirampas BN.

Menurut Ahmad, kerajaan merancang membawa lebih banyak manfaat untuk rakyat di kawasan itu kelak termasuk pembinaan 500 unit rumah mampu milik di Bukit Payong dan 1,000 unit di Rhu Rendang. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment