My Add

Wednesday 6 February 2013

BN tidak terima ahli bertanding tiket bebas - Zahid Hamidi

BAGAN DATOH, SELASA, 05 Februari, 2013: Barisan Nasional (BN) tidak akan menerima mana-mana ahlinya yang bertanding atas tiket Bebas setelah tidak dicalonkan mewakili parti itu dalam pilihan raya umum akan datang.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ahli BN yang bertindak sedemikian juga tidak akan mendapat sebarang tajaan daripada BN selaras dengan peraturan yang terkandung dalam parti itu.

"BN akan menamakan calonnya dalam kalangan ahli komponen parti itu dengan simbol BN sahaja untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang.

"Walaupun ada calon-calon bebas yang bertanding, dia bukanlah merupakan wakil rasmi atau tidak rasmi BN. pengundi-pengundi hendaklah memberikan sokongan kepada calon-calon yang mewakili BN sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat anak seorang nelayan, Chan Kee Sing yang berusia empat tahun di Bagan Pasir Laut, dekat sini hari ini.

Kee Sing selamat menjalani pembedahan akibat penyakit jantung berlubang Januari tahun lalu dengan kos sebanyak RM40,000 yang disumbangkan Ahmad Zahid.

Ahmad Zahid berkata, tindakan tersebut perlu bagi mengelakkan ada ahli BN yang tidak dapat bertanding menawarkan diri sebagai calon Bebas.

"Walaupun mereka berjanji akan menyertai BN semula, kita tidak terima kerana ia adalah di luar peraturan. Peraturan perlu kita patuhi," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment