My Add

Saturday 2 February 2013

Agong mahu UPNM jadi universiti ulung, dihormati


*YANG di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah (kanan) berkenan menganugerahkan pegawai terbaik keseluruhan kepada Pegawai Rendah Muda, Bambang Adi Sumantri Bambang Sukocho dari Johor sempena Istiadat Perbarisan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet Universiti Pertahanan Nasional Malaysia di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, SABTU, 02 Februari, 2013: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah hari ini bertitah dengan melahirkan harapan supaya Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) mampu menjadi universiti ulung dan dihormati.

Baginda mahu UPNM menjadi sebuah institusi ilmu yang progresif, tersohor dalam tradisi ilmu dan intelektualnya, anjal dengan perubahan persekitaran serta kukuh dengan nilai-nilai yang luhur.

Dengan ini, UPNM mampu melahirkan satria dan pahlawan bangsa yang mempunyai keberanian luar biasa serta bersedia mengabdikan diri kepada tuntutan mempertahan agama, bangsa dan tanah air.

"Beta berpendapat negara kita mampu melahirkan pemimpin muda yang bijak, berilmu serta berwibawa untuk memimpin Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang moden lagi canggih.

"Beta percaya proses pemodenan ATM hanya akan berjaya jika ianya didokong oleh sumber manusia yang terlatih dengan baik, " titah baginda pada Istiadat Perbarisan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet UPNM di sini, hari ini.

Turut berangkat hadir pada majlis itu, Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah serta Tunku Panglima Besar Kedah yang juga Pro-Canselor UPNM, Datuk Seri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim.

Hadir sama, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.

Sehubungan itu, baginda bertitah, perhatian perlu diberi kepada pemimpin muda ATM dengan mempersiapkan mereka bagi menangani ancaman dan perlu sentiasa berwaspada dalam menghadapi ancaman keselamatan yang lain.

"Walaupun negara kita berada dalam keadaan aman dan sejahtera, segala cabaran dan krisis yang timbul hendaklah sentiasa diberikan perhatian yang serius kerana krisis ekonomi dan kewangan global, konflik antarabangsa, ancaman pengganas dan bencana alam sekitar semuanya memberi impak terhadap negara dan bangsa," titah baginda.

Baginda bertitah, mengingatkan pemimpin muda dalam ATM bahawa mempertahan maruah tanah air dan kemakmuran negara merupakan perjuangan yang diamanahkan rakyat dan wajib dilaksanakan dengan penuh integriti dan beretika.

"Sesungguhnya pengorbanan paling mulia ialah mengabdikan diri dalam mempertahankan agama, tanah air serta bangsa tercinta. Bangsa yang berjiwa besar adalah bangsa yang meletakkan kepentingan negara mengatasi apa jua kepentingan diri dan keluarga," titah baginda.

Pada majlis itu, 297 pegawai kadet ditauliahkan yang terdiri daripada 168 ke dalam perkhidmatan Tentera Darat, 51 ditauliahkan ke dalam perkhidmatan Tentera Laut Diraja Malaysia dan baki 78 ke dalam perkhidmatan Tentera Udara Diraja Malaysia.

Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah kemudiannya berkenan mencemar duli mengurniakan watikah tauliah kepada setiap pegawai kadet berkenaan.

Pegawai Rendah Muda, Bambang Adi Sumantri Bambang Sukocho, 24 yang dilahirkan di Layang-layang Johor meraih Pegawai Kadet terbaik keseluruhan.

Tiga lagi Pegawai Kadet yang terpilih menerima anugerah Pegawai Kadet terbaik mengikut perkhidmatan darat, laut dan udara masing-masing ialah Pegawai Rendah Muda Muhammad Fitry Sapi'i, Pegawai Rendah Muda Shaiful Mohammed Daniel Halim dan Pegawai Rendah Muda Muhammad Fuad Jaafar. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment