My Add

Saturday, 23 February 2013

Azizan gagal atasi kemelut didesak letak jawatan Pengerusi Kuin

ALOR SETAR, JUMAAT, 22 Februari, 2013: Kakitangan Kolej Universiti Insaniah (Kuin) mendesak Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Kuin kerana didakwa gagal menyelesaikan kemelut melanda kolej itu.

Desakan itu dibuat oleh kira-kira 400 kakitangan kolej yang tidak berpuas hati dengan Azizan setelah beliau melabelkan mereka yang berjuang mendapatkan hak dan kebajikan sebagai pekerja di kolej tersebut sebagai ejen UMNO.

Penolong Pendaftar Kanan Kuin, Muhammad Azki Hafizi Ibrahim berkata, kenyataan Azizan itu juga menunjukkan beliau seorang yang berfikiran sempit dan mahu melepaskan tanggungjawab.

"Tak sepatutnya seorang Menteri Besar yang dipilih oleh rakyat bertindak menghentam rakyat, sepatutnya dia kena jadi orang tengah selesaikan masalah rakyat.

"Yang Azizan nak ugut kami suruh cari kerja tempat lain dan berhenti kenapa? Sepatutnya apabila Kuin sudah bercelaru di bawah Azizan, Azizanlah yang kena keluar dari Kuin bukan kami.

"Jika beliau masih berkeras untuk tidak mahu mengambil tahu mengenai masalah Kuin, kami mendesak Azizan berundur dan serahkan jawatan Pengerusi kepada orang lain yang mahu ambil peduli mengenai masalah kami," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, wakil kakitangan Kuin seramai enam orang pernah bertemu dengan Azizan di rumahnya pada 12 Mei tahun lalu bagi membincangkan masalah dalaman yang berlaku di kolej itu.

"Namun dalam perbincangan tersebut Azizan masih mempercayai maklumat dan laporan yang salah dan tersasar yang disampaikan oleh Rektor Kuin, Prof. Datuk Dr. Jamil Osman kepadanya dan tidak mempercayai aduan yang dibawa oleh kakitangan Kuin.

"Kami juga sudah jumpa dengan Jamil, tapi dia lari apabila berhadapan dengan kakitangan Kuin, jadi, jangan tuduh kita tak berunding," jelasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment