Betulkan DAP sebelum komen parti lain
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 22 Februari, 2013: Pengerusi DAP, Karpal Singh digesa mengatasi masalah dan kelemahan parti yang diwakilinya itu sebelum bertindak sesuka hati mencampuri urusan parti komponen lain dalam pakatan pembangkang.
Naib Ketua 1 Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Jerai, M. Palaniappan berkata, Karpal perlu fokus untuk mencari jalan menyelesaikan pelbagai masalah dalaman DAP berbanding sibuk mencari kesalahan pihak lain.
"Misalnya DAP berdepan dengan masalah ahli yang tidak percaya dan puas hati berhubung pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) yang diragui ketelusannya.
"Biar 100 peratus dalam DAP okey baru boleh komen orang lain. Walaupun dalam pakatan pembangkang, dia tidak boleh campur tangan dalam parti komponen lain," katanya.
Beliau mengulas laporan tentang Pengerusi PKR Johor, Datuk Chua Jui Meng yang kecewa dengan tindakan Karpal secara terbuka menyokong Pengerusi DAP Johor, Dr. Boo Cheng Hau berhubung isu pengagihan kerusi antara kedua parti itu untuk Pilihan Raya Umum Ke-13.
Satu daripada kerusi yang dikatakan menjadi rebutan antara PKR dan DAP Johor ialah kerusi Parlimen Gelang Patah yang kini disandang Tan Ah Heng daripada Barisan Nasional (BN).
Perbalahan terbuka itu memuncak apabila Cheng Hau membuat kenyataan mahu Jui Meng dilucutkan jawatan Pengerusi PKR Johor.
Cheng Hau mendakwa, Jui Meng sedang melancarkan kempen secara rahsia terhadap DAP di Johor.
Keadaan bertambah buruk apabila Karpal dilaporkan mahu siasatan dijalankan terhadap Jui Meng berhubung dakwaan dilemparkan Cheng Hau itu.
Menurut Palaniappan, tindakan suka campur tangan Karpal itu hanya akan menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan parti komponen pakatan pembangkang.
"Sepatutnya dia menggunakan saluran yang betul dan tidak berlagak seperti tahu dan betul semuanya. Macam dia pula Ketua Pembangkang," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment