My Add

Wednesday 20 February 2013

Bahana pendidikan 'dipolitikkan'

Oleh ZULKIFLI JALIL
 
 *PEKERJA-pekerja Jana Niaga sebuah syarikat penyelenggaraan asrama Unisel membuat demonstrasi di hadapan pintu masuk universiti itu meminta pengurusan Unisel membayar hutang gaji tertunggak RM15 juta menjelang perayaan hari raya dalam bulan Ogos 2012.

KISAH pembangunan pendidikan di Selangor menambah satu lagi luka kepada rakyat negeri itu, selain manifesto yang tidak tertunai.

Lihatlah apa yang terjadi pada Universiti Selangor (Unisel), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Yayasan Selangor dan terbaharu, Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS).

Masih segar dalam fikiran kita bagaimana tahun lepas, orang Melayu di Selangor terkedu melihat tindakan tidak bijak kerajaan negeri itu melalui Yayasan Selangor menutup asrama mereka di ibu negara dan memindahkan asrama ke tempat lain.

Ia amat merugikan para pelajar luar bandar untuk mengikuti pengajian di kota metropolitan Kuala Lumpur. Tujuan asrama itu dibina untuk menempatkan pelajar-pelajar luar bandar di sekolah-sekolah terbaik seperti Victoria Institution, Cochrane Kuala Lumpur, Aminuddin Baki dan St. John agar mereka terdedah dengan pembelajaran urban.

Objektif ini memang tersurat dalam penubuhan Yayasan Selangor pada 5 November 1970 lalu. Tetapi di bawah kerajaan PKR, misi untuk memberi peluang kepada anak- anak miskin menikmati pendidikan terbaik, sudah terbalik.

Dan kita orang Melayu pasti tidak akan 'mengampunkan' Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim apabila dia menghalang dan menolak pembinaan UiTM di Serendah, Hulu Selangor. Cadangan Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) itu ditolak oleh Abdul Khalid dengan YBK 'dilanyak kiri dan kanan' hanya kerana tidak mahu menuruti permintaan Abdul Khalid supaya melantiknya sebagai bos YBK.

Semua maklum, UiTM itu untuk siapa? Kita nak masukkan 200,000 pelajar. Itu merupakan satu usul yang dibuat oleh UMNO, empat tahun lepas seperti yang dijanjikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mahu memberikan peluang kepada 200,000 anak-anak belajar di UiTM.

Sebab itu UiTM begitu banyak dibina di setiap negeri. Selangor, sebuah negeri maju, belum ada lagi cawangan UiTM. Yang ada di Shah Alam dan di Puncak Alam, itu kampus induk. Sebab itu dibelanjakan RM400 juta, buat UiTM di Serendah, di tanah YBK. Kalau nak harap tanah kerajaan negeri Selangor waktu ini, jangan harap dapat. Akhirnya rakyat Selangor rugi besar apabila kampus UiTM itu berpindah ke Melaka.

Belum pun reda semua itu, menjangkit pula pada Unisel yang sedang mengalami kerugian, semakin terpinggir serta tidak lagi menjadi pilihan pelajar.

Bermula pada 2011, Unisel melengahkan tempoh pembayaran bagi kerja-kerja penyelenggaraan yang mana sehingga 31 Mei 2012 bayaran tunggakan selama hampir 17 bulan, berjumlah RM8,006,216.20. Dan sehingga Jun 2012, tunggakan bayaran bagi kediaman pelajar dan kakitangan adalah selama tujuh bulan berjumlah RM6,600,917.16.

Dahulu Unisel antara yang mencatat ranking tertinggi pilihan pelajar. Sekarang, ibu bapa pun resah nak masukkan anak ke Unisel dengan persepsi tebal sebagai 'universiti politik'. Kehadiran Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi dalam Konvensyen Antarabangsa Pendidikan Unisel - kedua-duanya tiada kena-mengena langsung dengan Unisel - pada 5 Februari baru-baru ini menguatkan lagi andaian itu.

Kini, KUIS pula menerima kesan akibat kelemahan pentadbiran Lembaga Pengarahnya yang dipengerusikan oleh Abdul Khalid sendiri.

Isu KUIS tercetus dari tindakan keras pihak pengurusan KUIS terhadap hampir 200 ahli akademik dan kakitangannya yang menghantar memorandum hilang keyakinan terhadap pihak pentadbiran. Memorandum yang diserahkan itu antara lain, turut mengandungi rasa kesal dan marah kumpulan terbabit setelah dua tahun gaji mereka tidak dinaikkan, tiada elaun selama enam bulan selain kebajikan kaki tangan juga diabaikan.

Tapi malangnya, Abdul Khalid tidak serius menyelesaikan kemelut ini. Banyak kursus di KUIS - yang memberi peluang belajar kepada golongan asnaf - hendak ditutup dan digabungkan. Jumlah pelajar KUIS di bawah kerajaan negeri sebelum ini seramai 8,000 orang, kini menyusut kepada kira-kira 4,000 orang sahaja.

Khabar terbaharu yang singgah di telinga penulis, memaklumkan 'gara-gara menghantar memorandum' - surat amaran telah dikeluarkan terhadap 40 staf KUIS manakala surat tunjuk sebab untuk 20 staf. Seorang pegawai kanannya pula difahamkan, sudah menyerahkan surat peletakan jawatan.

Adakah ini usaha terancang pihak tertentu untuk melanyak pendidikan anak Melayu di Selangor?

Rakyat Selangor bukannya buta. Rakyat Selangor sudah buka mata atas segala tindakan kerajaan PKR Selangor dalam bidang pendidikan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment