My Add

Friday 15 February 2013

Balak: MB mesti ikut prosedur

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 14 Februari, 2013: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak tidak boleh memberi kebenaran penebangan balak sesuka hati meskipun kawasan hutan Kedah milik negeri itu.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Douglas Uggah Embas berkata, sebaliknya kerajaan negeri itu perlu mematuhi setiap peraturan dan prosedur yang ditetapkan oleh Majlis Tanah Negara.

Menurut beliau, di bawah peraturan itu, negeri-negeri tidak dibenarkan membuat penebangan melebihi 500 hektar dan jika hendak berbuat demikian, laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) perlu disertakan.

"Memang kawasan hutan Kedah milik negeri itu, tetapi itu bukan lesen boleh melakukan penebangan sesuka hati apatah lagi membabitkan kawasan tadahan hujan atau penebangan besar-besaran," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Azizan yang mahu terus menebang balak jika Kerajaan Pusat enggan membayar pampasan RM100 juta.

Azizan berkata, tuntutan yang dibuat itu adalah sejajar dengan janji lisan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menjadi Perdana Menteri ketika isu itu hangat diperkatakan.

Tambah Douglas, selaku Menteri Besar Kedah, Azizan sepatutnya bertanggungjawab terhadap keselamatan alam sekitar dan tidak sesekali menjejaskannya.

"Adakah Azizan akan bertanggungjawab atau menerima risiko seandainya berlaku gangguan di kawasan tadahan hujan atau runtuhan bukit dan pencemaran sungai," jelasnya.

Beliau menjelaskan, kementerian sentiasa memantau perkembangan terkini aktiviti penebangan balak dan tebus guna tanah di Kedah bagi mengelakkan kemudaratan alam sekitar.

"Kita akan bertindak mengikut saluran betul sekiranya melibatkan kawasan tadahan air yang sepatutnya dilindungi oleh kerajaan negeri Kedah.

"Kawasan-kawasan itu sepatutnya tidak dijadikan mangsa pembangunan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment