My Add

Sunday 3 February 2013

BN ada peluang besar rampas Kedah - Dr. Mahathir

SUNGAI PETANI, SABTU, 02 Februari, 2013: Barisan Nasional (BN) dilihat mempunyai peluang besar untuk merampas kembali Kedah daripada Pas dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 ini.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, keyakinan itu berdasarkan perubahan sokongan rakyat negeri ini yang kini kembali kepada BN.

"Saya percaya BN mempunyai peluang yang tinggi untuk merampas Kedah. Berbeza dengan 2008, kini sokongan sudah kembali.

"Semasa pilihan raya dulu, banyak masalah timbul antaranya orang UMNO sendiri tidak menyokong dan merajuk atas sebab-sebab tertentu. Namun, kali ini masalah itu tidak timbul lagi, peluang amat baik," katanya kepada pemberita selepas majlis Himpunan Mesra Rakyat Parlimen Merbok di sini hari ini.

Yang hadir sama, isteri Dr. Mahathir, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah; Timbalannya, Datuk Mukhriz Mahathir dan Penyelaras Parlimen Merbok, Datuk Tajul Urus Md. Zain.

Dr. Mahathir bagaimanapun berkata, kemenangan calon BN di Kedah turut dipengaruhi oleh faktor kekuatan dalaman UMNO dan parti komponen sendiri.

"Memang boleh menang kalau tak ada sabotaj. Nasihat saya ialah janganlah sabotaj calon dan parti.

"Kali ini yang paling penting kita perlu berikan sokongan kepada sesiapa jua yang dipilih Presiden Parti, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mewakili BN. Tak guna kita hanya beri sokongan kepada calon sekiranya parti kalah. Jadi, parti lebih penting daripada calon," jelasnya.

Mengenai persiapan BN menghadapi pilihan raya, katanya, beliau melihat Najib dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin begitu komited untuk turun padang berjumpa rakyat.

"Persiapan nampaknya rapi dan kemas malah mereka juga kerap turun berjumpa rakyat. Ini sesuatu yang amat baik," katanya.

Ditanya desas-desus seorang lagi anaknya iaitu Datuk Mokhzani mungkin dipilih menjadi calon dalam pilihan raya umum kali ini, Dr. Mahathir berkata, beliau tidak pasti perkara tersebut.

"Tapi cukuplah hanya satu orang menjadi calon. Pilih banyak-banyak nanti orang kata saya nak wariskan politik kepada keluarga pula," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment