My Add

Wednesday 6 February 2013

BN mampu tawan semula Parlimen Kota Melaka

 *IDRIS Haron (dua kanan) menyampaikan angpow kepada penduduk pada majlis penyampaian bantuan sempena sambutan Tahun Baharu Cina peringkat Parlimen Tangga Batu di Dewan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah Taman Paya Emas, Paya Rumput, Melaka semalam. - UTUSAN

MELAKA, RABU, 06 Februari, 2013: Barisan Nasional (BN) negeri dijangka membuat kejutan untuk merampas kembali kerusi Parlimen Kota Melaka dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Laksamana yang menjadi kubu kuat DAP pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Ketua Penerangan BN negeri, Datuk Idris Haron berkata, di samping dua kerusi tersebut, BN juga berpeluang merampas tiga lagi kawasan yang menjadi milik pembangkang di Kesidang, Banda Hilir dan Bachang.

Menurutnya, rakyat di negeri ini sudah bosan dengan sikap DAP, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang masing-masing berdepan krisis dalaman.

"Rakyat sudah mula sedar perjuangan pakatan pembangkang hanya untuk mendapatkan kuasa tanpa mempedulikan nasib masyarakat di tempat sendiri.

"Sebagai contoh di DUN Kota Laksamana, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Betty Chew Gek Cheng jarang turun padang untuk meninjau nasib rakyat kerana dia sering berada di Pulau Pinang.

"Bukan sahaja DAP, malah PKR dan Pas turut tidak disenangi rakyat kerana masalah krisis dalaman dalam kalangan pemimpin mereka,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian bantuan sempena sambutan Tahun Baru Cina peringkat Parlimen Tangga Batu di Dewan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Taman Paya Emas, Paya Rumput di sini semalam. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment