My Add

Saturday, 23 February 2013

Dakwaan bekas pegawai tinggi tentera tidak berasas

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 22 Februari, 2013: Dakwaan empat bekas pegawai tertinggi tentera berpangkat jeneral bahawa kebajikan anggota pasukan keselamatan terabai adalah tidak berasas sama sekali.

Sambil membidas kenyataan tersebut, Presiden Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM), Mohd. Ali Baharom berkata, selama ini kerajaan sentiasa prihatin terhadap perkara itu dengan melakukan pelbagai inisiatif bagi membangunkan kehidupan mereka.

"Sejak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih pemerintahan negara, saya lihat lebih banyak kemudahan disediakan untuk kebajikan tentera.

"Golongan tentera menerima pemberian Sumbangan Veteran Tidak Berpencen 1Malaysia (SVTB1M) sebanyak RM1,000 di samping memperoleh peluang pekerjaan yang ditawarkan oleh Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat)," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Baru-baru ini Leftenan Jeneral (B) Datuk Abdul Ghafir Abdul Hamid (Darat), Brigedier Jeneral (B) Datuk Abdul Hadi Al-Khatab (Udara), Laksamana Pertama (B) Imran Abd. Hamid (Laut) dan Brigedier Jeneral (B) Datuk Najmi Ahmad (Kagat) telah dijemput Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada satu sesi ceramahnya.

Anwar berkata, penampilan bekas-bekas pegawai tertinggi tentera itu bertujuan menarik sokongan tentera dan bekas tentera bersama-sama menyokong pembangkang demi 'memastikan nasib dan masa depan lebih cerah untuk semua anggota'.

Mohd. Ali menasihatkan keempat-empat bekas jeneral itu supaya tidak sesuka hati melontarkan pandangan mereka yang mengelirukan rakyat.

Beliau turut mempersoalkan jasa yang telah ditaburkan mereka dalam mendengar rintihan golongan bawahan mereka sebelum ini.

Katanya, golongan tentera dan bekas tentera bukan bodoh untuk memperjudikan nasib mereka di bawah pemerintahan pembangkang yang dilihat tidak pernah memperjuangkan kebajikan golongan itu selama ini.

"Saya minta Kementerian Pertahanan mendakwa keempat-empat bekas jeneral ini kerana tindakan mereka membawa imej buruk kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) secara amnya," ujar beliau. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment