My Add

Saturday 23 February 2013

Pesara dilarang guna pangkat tentera tanpa izin

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 22 Februari, 2013: Kementerian Pertahanan mengingatkan adalah menjadi satu kesalahan bagi para pegawainya yang telah bersara, menggunakan gelaran pangkat tanpa mendapat keizinan daripada Majlis Angkatan Tentera (MAT).

Unit Komunikasi Korporat Kementerian Pertahanan berkata, perkara tersebut terkandung di dalam perenggan 3 Perintah Majlis Angkatan Tentera (PMAT) Bilangan 1/1975.

Menurut peraturan itu, bekas pegawai yang tidak mendapat kebenaran adalah ditegah sama sekali menggunakan sebarang gelaran pangkat selepas mereka berhenti daripada perkhidmatan.

Oleh yang demikian, mana-mana pesara yang didapati melanggari peruntukan tersebut adalah layak dikenakan tindakan sewajarnya.

"Golongan yang dibenarkan menggunakan gelaran pangkat mereka ialah Pegawai-pegawai Tauliah Tetap yang telah berkhidmat terus menerus dan bersara dengan mendapat ganjaran dan pencen serta Pegawai Tauliah Tetap yang terpaksa diberhentikan dengan mendapat pencen atau ganjaran atas sebab-sebab kesihatan yang telah disahkan oleh Lembaga Perubatan Angkatan Tentera," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, pegawai lain yang boleh menggunakan gelaran tersebut ialah Pegawai Tauliah Tetap yang telah berkhidmat tidak kurang daripada 10 tahun dan diberhentikan atas sebab-sebab lain daripada kesihatan dengan mendapat ganjaran atau pencen.

Bekas Pegawai Tauliah Tetap yang telah berkhidmat tidak kurang daripada 10 tahun dan diberhentikan atas sebab tamat tempoh perkhidmatan juga boleh menggunakan gelaran pangkat mereka, kata kenyataan itu.

Sehubungan itu katanya, mereka yang tidak termasuk dalam kategori tersebut adalah tidak dibenarkan menggunakan sebarang gelaran pangkat selepas diberhentikan daripada perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). - UTUSAN

No comments:

Post a Comment