My Add

Thursday 7 February 2013

Dr. Mahathir  lancar buku bergambar Perjalanan Malaysia ke Antartika

KUALA LUMPUR, RABU, 06 Februari, 2013: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini melancarkan buku bergambar bertajuk 'ANTARCTICA: Malaysia's Journey to the Ice' terbitan Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan (NARC).

Buku setebal 275 muka surat dan memuatkan 366 keping gambar itu diterbitkan dengan kerjasama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dengan pembiayaan daripada Universiti Malaya dan Kementerian Pengajian Tinggi.

‘ANTARCTICA: Malaysia’s Journey to the Ice’ memberikan penerangan panjang lebar mengenai keadaan di benua diliputi ais itu daripada aspek geologi, cuaca, flora dan fauna, stesen-stesen penyelidikan saintifik serta kerja yang dilakukan kumpulan saintis dan penyelidik dari pelbagai negara yang menumpukan usaha mereka di kawasan itu.

Ia juga menonjolkan aspirasi Malaysia untuk memujuk masyarakat antarabangsa supaya menganggap dan menerima Antartika sebagai warisan bersama manusia dan memanfaatkan persekitaran kondusif ditawarkan benua itu bagi penyelidikan yang akan membawa faedah kepada manusia.

Selain menceritakan perjalanan kumpulan saintis dari negara beriklim tropika Malaysia ke benua ais itu untuk menjalankan penyelidikan, ia juga menggambarkan perjalanan simbolik yang tiada penghujungnya dalam pemuliharaan Antartika demi faedah bersama manusia. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment