My Add

Thursday 7 February 2013

Mahkamah Rayuan kembalikan award RM82,000 kepada operator mesin

PUTRAJAYA, RABU, 06 Februari, 013: Mahkamah Rayuan hari ini mengembalikan semula award Mahkamah Perusahaan sebanyak RM82,000 kepada seorang operator mesin bagi pemecatan secara tidak adil.

Panel tiga hakim dipengerusikan, Datuk Seri Mohamed Apandi Ali membenarkan rayuan M. Rajagopal untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan keputusan Mahkamah Perusahaan itu.

Mohamed Apandi berkata, bekas majikan Rajagopal, Rex Metal Packaging Bhd (kini Blagden Malaysia Bhd) tidak dapat membuktikan kesnya kerana pengadu, pengurus operasi syarikat itu, tidak hadir di Mahkamah Perusahaan untuk memberi keterangan.

Pada 2005, satu inkuiri dalaman diadakan dan Rajagopal, yang sudah bekerja dengan syarikat itu selama 31 tahun, dibicarakan bagi tiga pertuduhan.

Pertuduhan pertama ialah menghasut rakan sekerjanya supaya bekerja secara perlahan, keduanya mengadakan mesyuarat secara haram di premis syarikat itu dan ketiganya didakwa mengugut pengurus operasi, Gan An Hean.

Sepanjang tempoh itu, Rajagopal iaitu wakil kesatuan sekerja pada waktu itu dan syarikat itu (terlibat dalam pengeluaran tong dram logam) sedang merundingkan perjanjian bersama yang baru.

Rajagopal, diwakili peguam M. Eswary, dipecat selepas inkuiri mendapati dia bersalah terhadap pertuduhan ketiga sahaja.

Dia mengemukakan aduan kepada Jabatan Perhubungan Perusahaan bagi pemecatan secara tidak adil mengikut Seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan 1967 dan aduannya dirujuk ke Mahkamah Perusahaan.

Pada Disember 2009, Mahkamah Perusahaan membenarkan tuntutan Rajagopal bagi pemecatan secara tidak adil dan memberikan award RM82,940 sebagai pampasan tidak diambil bekerja semula.

Pengerusi Mahkamah Perusahaan Hapipah Monel memutuskan adalah penting bagi majikan memanggil Gan memberi keterangan kerana beliau saksi utama.

Gan memberikan keterangan di inkuiri itu tetapi tidak berbuat demikian di Mahkamah Perusahaan.

Rajagopal, kini berusia 60 tahun, mengemukakan rayuan menerusi Kesatuan Sekerja Kakitangan Metal Industries. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment