My Add

Saturday 2 February 2013

Dua tahanan lolos dapat bantuan untuk bersembunyi: Polis

BUKIT MERTAJAM, SABTU, 02 Februari, 2013: Polis tidak menolak kemungkinan dua tahanan iaitu Hamzani Harun, 37, dan Hisham Abdul Rahman, 39, yang meloloskan diri daripada tahanan polis ketika dibawa ke Mahkamah Butterworth bulan lalu, mendapat bantuan pihak lain untuk bersembunyi.

Sehubungan itu, Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Jaafar,

meminta orang ramai terutama keluarga dan kenalan terdekat dua lelaki yangdiburu itu supaya tidak menghulurkan bantuan kepada mereka.

"Sebelum ini tahanan lain turut dibantu rakan mereka sebelum berjaya ditahan
polis," katanya selepas Majlis Pelancaran Op Selamat II sempena Perayaan Tahun Baharu Cina 2013, di Tol Juru di sini, hari ini.

Beliau berkata, polis yakin kedua-dua tahanan yang diburu itu masih bersembunyi di negeri ini dan polis kini meningkatkan usaha memburu mereka.

"Berdasarkan maklumat yang diperoleh, saya percaya kami akan dapat tahan mereka dalam tempoh terdekat," katanya.

Dalam kejadian 9 pagi 7 Januari lalu, sembilan tahanan yang dalam perjalanan dari Penjara Pulau Pinang ke mahkamah di Butterworth meloloskan diri dengan merampas van polis yang dinaiki selepas memukul dan menolak keluar empat anggota polis pengiring.

Dua daripada mereka berjaya diberkas semula berhampiran van polis itu yang
ditinggalkan di Kampung Padang Chempedak, Tasek Gelugor manakala dua lagi iait Mohd Fairuz Adam, 31, dan Mohd Noor Mustafa, 28, ditembak mati setelah cuba melarikan diri dengan sebuah kereta di Kampung Padang Ibu di Bukit Mertajam dekat sini pada 10 Januari.

Dua hari kemudian, polis menahan Mohd Farid Akhtar, 24, ketika meminta makanan di sebuah kedai makan di Kampung Petani, Kubang Semang dan Mohd Shahrimi Mohd Noor, 28, pula menyerah diri di Pasar Awam Penanti manakala Mohd Khairulnizam Abdul Rani, 26, ditahan di sebuah kafe internet di Berapit, Bukit Mertajam di sini.

Mengulas kes sindiket penjualan bayi dan kanak-kanak di utara semenanjung,
Abdul Rahim berkata, pihaknya sedang menyiapkan kertas siasatan berhubung kes itu.

Beliau berkata, setakat ini, lapan individu termasuk seorang doktor klinik
swasta dan dua pegawai Jabatan Pendaftaraan Negara (JPN) masih direman bagi
membantu siasatan kes itu.

Baru-baru ini, Polis Pulau Pinang membongkar sindiket menjual bayi dan
kanak-kanak yang aktif di utara tanah air dengan penahanan 33 individu berumur
antara 23 hingga 52 tahun. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment