My Add

Wednesday, 20 February 2013

Duta Indonesia ingatkan majikan ambil amah guna saluran betul

KUALA LUMPUR, RABU, 20 Februari, 2013: Majikan negara ini diingatkan agar mengambil pembantu rumah asing menggunakan saluran yang sah bagi mengelak kes deraan terhadap anak-anak majikan berulang, kata Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Herman Prayitno.

Herman hari ini juga mengesahkan pembantu rumah Yuliana yang dijatuhi hukuman penjara 20 tahun semalam kerana mendera bayi majikannya yang berusia empat bulan, diambil majikan berkenaan secara tidak sah.

"Inilah natijahnya jika mengambil pembantu rumah asing tanpa saluran yang sah. Ia patut menjadi pengajaran agar majikan lebih berhati-hati di masa depan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian pada majlis Penyerahan Bantuan Yayasan Ikatan Rakyat Malaysia Indonesia (YIRMI) kepada Mangsa Banjir di Manado yang diadakan di Kedutaan Indonesia di sini.

Herman berkata, pembantu rumah Indonesia yang ditawarkan bekerja secara sah di negara ini akan menjalani latihan terlebih dahulu dan melepasi ujian psikologi sebelum dihantar ke negara ini.

"Oleh yang demikian ia dapat memastikan majikan mengambil pembantu rumah terlatih dan stabil daripada segi emosi dan kesihatan bagi menjalankan tugas mereka sebagai pembantu rumah," katanya.

Dalam pada itu, katanya, kedutaan amat menghormati hukuman penjara 20 tahun yang dikenakan mahkamah terhadap Yuliana.

Semalam, Yuliana, 23, yang berasal dari Sukarame, Acheh dijatuhi hukuman penjara 20 tahun oleh Mahkamah Sesyen Kuantan selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan mendera seorang bayi lelaki berusia empat bulan, 15 Feb lalu.

Bagi pertuduhan pertama, ibu kepada dua anak itu didakwa menghempas dan melambung Mohamed Hareez Mohamed Zamri sebanyak sembilan kali yang boleh mendatangkan kematian kepada mangsa pada 7.45 pagi, 15 Feb lepas di kediaman ibu bapa mangsa di nombor 7, Lorong Bukit Setongkol 38, Jalan Bukit Setongkol di sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 307(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun.

Bagi pertuduhan kedua, pada tempat dan masa yang sama, dia didakwa menganiaya Mohamed Hareez dengan tujuan mendatangkan kecederaan yang boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan pertama, tertuduh dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan lima tahun penjara untuk kesalahan kedua. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment