Racun haiwan Zoo Melaka: Polis tahan peniaga
MELAKA, RABU, 20 Februari, 2013: Polis Melaka percaya telah menyelesaikan kes meracun Beruang Matahari dan kuda lumba spesies 'Thoroughbred' di Zoo Melaka dan Safari Malam di sini berikutan penangkapan seorang lelaki berusia 65 tahun awal hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, pasukan khas polis yang ditubuhkan bagi menyiasat kejadian itu menahan lelaki terbabit yang merupakan seorang peniaga kira-kira 1 pagi ini di sebuah taman perumahan di Kulai Besar, Johor.
Beliau berkata, polis turut merampas sebuah kenderaan dan beberapa barangan berkaitan dengan perbuatan jenayah itu.
"Dalam siasatan awal, suspek mengaku melakukan perbuatan itu, namun terlalu awal untuk mendedahkan motif perbuatannya," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Raja Shahrom berkata, lelaki terbabit bukan pekerja zoo dan dipercayai datang ke tempat pelancongan itu bagi melakukan jenayah berkenaan.
Beliau berkata, hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan zoo itu menunjukkan lelaki terbabit berada dalam keadaan mencurigakan sebelum polis bertindak mengesannya.
Lelaki terbabit ditahan reman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan, katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 429 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan membunuh atau mencederakan haiwan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Beruang betina berusia lingkungan 14 hingga 16 tahun itu ditemui mati 5 petang Ahad lepas manakala kuda lumba berumur 17 tahun yang diberi nama 'Basket' pula ditemui mati 7 pagi keesokannya disyaki diracun melalui makanan. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment